Shahrizat Sah Tidak Bertanding Pada PRU13

Diterbitkan: Selasa, 9 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

 Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini mengesahkan tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Shahrizat, yang juga Ketua Wanita Barisan Nasional (BN), berkata PRU-13 bukanlah masa yang sesuai untuk beliau bertanding, sebaliknya ia masa untuk membantu menguatkan jentera Wanita untuk memastikan kemenangan BN.

"Walaupun saya 'jeneral tentera' Wanita tapi tak semestinya saya kena bertanding. Saya seorang yang realistik, masa untuk saya akan datang tapi bukan PRU-13," katanya dalam sidang media di sini.

Beliau memulakan kerjaya dalam arena politik pada 1982 apabila dipilih sebagai Ketua Wanita Umno Cawangan Kepong Baru dan kemudian dipilih sebagai Ketua Wanita Umno bagi penggal 2008/2011 setelah mengalahkan Tan Sri Rafidah Aziz.

Pada PRU-12 yang diadakan pada 2008, Shahrizat yang bertanding kerusi Parlimen Lembah Pantai dikalahkan Nurul Izzah Anwar daripada Parti Keadilan Rakyat dengan majoriti 2,895 undi.

Beliau bagaimanapun dilantik sebagai Senator pada 9 April 2009 dan menjadi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum meletakkan jawatan pada 11 Mac 2012.

Shahrizat berkata keputusan untuk tidak bertanding pada PRU-13 telah dimaklumkan sejak tahun lepas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Wanita Umno dan BN yang memberi sokongan kepada beliau selama ini, Shahrizat berharap semua pihak menerima keputusannya itu dengan hati terbuka dan terus bekerja keras demi kemenangan parti.

"Terima kasih kepada Wanita. Jangan khuatir kerana saya masih dengan Wanita untuk sama-sama bawa kemenangan kepada BN," katanya.

Ditanya mengenai bilangan calon wanita pada PRU-13, Shahrizat yang enggan mendedahkan jumlah sebenar sekadar berkata: "Saya selaku Ketua Wanita Umno dan BN dah beri senarai yang panjang kepada PM untuk dipertimbang sebagai calon".

Senarai itu, katanya, terdiri daripada mereka yang berpengalaman, profesional, muda dan dianggap mempunyai ramuan cukup ideal dan sempurna. Shahrizat berkata banyak kriteria yang perlu diambil kira sebelum meletak seseorang calon di satu-satu kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk kesediaan penduduk menerima calon yang dipertandingkan.

"Saya boleh dirunding tentang isu kuota wanita tapi tiada kompromi tentang wanita sebagai Anggota Parlimen atau Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun)," katanya.

Pada PRU-12, BN meletakkan 66 calon wanita dan daripada jumlah itu, 21 diberi kepercayaan bertanding bagi kerusi Parlimen manakala 45 lagi kerusi DUN.

Jumlah itu meningkat berbanding PRU-11 pada 2004 yang menyaksikan 17 calon wanita bertanding kerusi Parlimen dan 36 DUN.

BN ketika ini mempunyai 12 Anggota Parlimen dan 25 Adun wanita.

Menyentuh Aku Janji BN bertema 'Menepati Janji Membawa Harapan' untuk PRU-13, Shahrizat berkata ia akan dijadikan 'tangkal azimat' buat Wanita Umno dan BN semasa berkempen dari rumah ke rumah. Beliau berkata pengundi wanita perlu melihat manifesto itu dari segala sudut dan bukan hanya tertumpu kepada bab khusus mengenai wanita.

"Semua (perkara) dalam manifesto ini beri kesan kepada wanita, misalnya janji untuk membina sejuta rumah mampu milik. Wanita sebagai ibu, isteri, suri rumah, maka wanitalah yang akan raih keuntungan daripadanya," katanya. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan