PRU-13: Abdul Hadi Pertahan Kerusi Marang, Umum Dua Muka Baru Termasuk Penyanyi Aishah

Diterbitkan: Selasa, 9 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad

KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Selasa mengesahkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Marang (Terengganu) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Beliau turut mengumumkan dua lagi muka baru yang akan bertanding di kerusi Parlimen dalam usaha membantu Pakatan Rakyat merealisasikan impian menuju Putrajaya.

Pengumuman itu dibuat selepas mesyuarat kepimpinan PAS Pusat hampir lima jam di Ibu Pejabat PAS di sini, Selasa.

"Pada mesyuarat ini, kita sudah memuktamadkan calon untuk Parlimen dan peringkat negeri," katanya pada sidang media di sini.

Abdul Hadi berkata, Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad akan mewakili PAS di kerusi Parlimen Kuala Terengganu manakala bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari di Larut (Perak).

Abdul Hadi turut mengesahkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu diletakkan sebagai calon di kerusi Parlimen Pendang.

Sementara itu, beliau berkata, tiga Naib Presiden PAS iaitu Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub masing-masing akan bertanding di kawasan Parlimen Putrajaya, Pokok Sena (Kedah) dan Pulai (Johor).

Menurut Abdul Hadi, calon dikalangan artis kekal seorang iaitu penyanyi yang terkenal dengan lagu Janji Manismu, Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin yang akan bertanding di kerusi Parlimen Jempol (Negeri Sembilan).

"Namun kita ada juga calon daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS yang terdiri daripada bangsa India dan Cina.

"Kita hormati hak negeri, nama-nama itu kita serahkan kepada mereka untuk umumkan nanti," katanya.

Bagi senarai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Abdul Hadi berkata, pengumuman akan dibuat dari semasa ke semasa oleh Pesuruhjaya PAS setiap negeri.

Katanya, PAS akan bertanding di 76 kerusi Parlimen dan 230 kerusi DUN pada PRU-13.

Ketika ditanya mengenai pertindihan kerusi, beliau berkata, masalah tersebut sedang dibincangkan dan yakin akan diselesaikan dalam masa terdekat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan