Maruah Dan Penghormatan Tidak Boleh Dibeli Dengan Wang Ringgit - Najib

Diterbitkan: Selasa, 9 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Maruah dan penghormatan adalah sesuatu yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit biarpun ada pihak memberikan pelbagai janji, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata walaupun seseorang itu kehilangan segala-galanya tetapi masyarakat akan tetap menghormatinya kerana wujud prinsip kesetiaan.

"Biarlah dua tiga tersasar nak jadi calon pembangkang, lebih ramai lagi ada pada kita. Yang jadi calon sebelah sana, saya kenal siapa dia, saya kenal latar belakang dia, saya tahu kenapa, sebenarnya mereka itu bermasalah. Semua dalam Mindef (Kementerian Pertahanan) tahu.

"Orang putih kata, anda datang bekerja dengan maruah dan penghormatan dan anda bersara dengan maruah dan penghormatan juga.

"Maruah dan penghormatan tidak boleh dibeli biarpun ada orang janji macam-macam, penghormatan manusia kepada kita tidak boleh dibeli dengan wang ringgit, sebab itu dalam perjuangan kita mesti ada nilai prinsip, maruah diri mesti kita jaga," katanya pada majlis ramah mesra Perdana Menteri bersama pesara-pesara kerajaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohamad Zabidi Zainal, Presiden Perbadanan Putrajaya yang juga Presiden Kelab Umno Pesara Kanan Kerajaan Tan Sri Aseh Che Mat.

Lebih 3,000 pesara yang turut terdiri daripada pesara tentera, polis, Jabatan Penjara dan Jabatan Imigresen dari seluruh negara hadir pada majlis itu. Pada masa ini, terdapat kira-kira 700,000 golongan pesara di seluruh negara.

Najib berkata demikian dipercayai merujuk kepada tindakan beberapa bekas pegawai kanan tentera yang telah menyatakan kemungkinan untuk bertanding sebagai calon pembangkang.

Sebagai golongan pesara yang lebih berpengetahuan dan berpengalaman, Najib berkata mereka lebih memahami bahawa masa depan negara tidak boleh diperjudikan dan dijadikan sebagai eksperimen.

"Sebab jika kita salah pilih, kita akan merana, bukan sahaja kita tetapi juga anak cucu kita. Tetapi ini bukan bererti kita nak wajib sokong kerajaan tetapi nak sokong kerana kita adalah pilihan terbaik," katanya.

Najib berkata kepercayaan tidak boleh diberikan kepada pembangkang yang cakap tidak konsisten dan mempunyai perbezaan haluan seperti isu Putrajaya yang dulu hendak dilelong tetapi sekarang mengidamkan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu.

"Semua tidur di atas satu bantal tetapi bak kata pepatah Melayu, tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain. Hala tuju yang berbeza akan membawa kucar-kacir kepada pentadbiran negara," katanya.

Katanya seandainya majoriti besar diberikan kepada kerajaan kepimpinan beliau, negara akan melakar lebih banyak kejayaan lagi dan jasa golongan pesara turut tidak akan dilupakan.

Malah, katanya, kadar kenaikan minimum pencen pesara sebanyak dua peratus yang diberikan kepada golongan pesara pada masa ini boleh ditambah lagi yang bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan.

"Yakinlah, jika anda menyokong kerajaan pada hari ini, kita akan melakar lebih banyak kejayaan lagi. Saya akan bekerja lebih kuat lagi. Saya beri jaminan untuk bekerja sepenuh hati dengan segala kekuatan yang ada pada saya," katanya.-BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan