Murid Di Zon Merah Op Daulat Kembali Ke Sekolah Tanpa Kelengkapan Sekolah

Diterbitkan: Isnin, 8 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LAHAD DATU: Pakaian seragam sekolah, buku teks dan peralatan sekolah semuanya musnah akibat pencerobohan militan dari selatan Filipina di Sabah lebih sebulan lepas.

Bagaimanapun, itu tidak mematahkan semangat pelajar dari Kampung Tanjung Batu, Tanjung Labian dan Lok Buani untuk kembali belajar apabila sekolah mereka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Labian dan SK Lok Buani dibuka semula hari ini, setelah lebih sebulan ditutup berikutan insiden pencerobohan itu.

Malah sebilangan besar daripada mereka hanya berpakaian biasa dan membawa sebuah buku yang diletakkan di dalam beg plastik ke sekolah pada Isnin.

"Dia bersemangat untuk menyambung kembali pembelajarannya walaupun semua keperluan sekolahnya musnah kerana rumah kami dibakar," kata Siti Rogayah Mahatmah, 46, seorang ibu yang menghantar anak lelakinya yang bersekolah di SK Tanjung Labian.

Suri rumah dari Kampung Tanjung Batu itu berkata kehadiran anggota tentera yang lengkap bersenjata serta jaminan guru tentang tahap keselamatan di sekolah itu membuatkan dirinya rasa selamat untuk menghantar anak lelakinya di Tahun Empat memulakan persekolahan.

Tinjauan Bernama di dua sekolah itu mendapati enam anggota tentera lengkap bersenjata mengawal sekitar kawasan sekolah sejak perhimpunan pagi bermula pukul 7. Bagi Rahmah Abu, 43, pula insiden pencerobohan itu tidak sedikit pun dijadikan alasan untuk tidak menghantar tiga anak lelakinya ke sekolah.

Berlainan pula dengan seorang bapa, Nasarallah Mohamad, 50, yang belum berani menghantar anaknya ke sekolah itu kerana ingin meninjau keadaan keselamatan kawasan sekolah itu terlebih dahulu.

Buat masa ini, anaknya bersekolah di sekolah lain berdekatan rumah saudara yang ditumpangi beliau sementara menunggu rumah mereka dibaik pulih.

Sementara itu, perhimpunan pagi sekolah itu memberi suasana berbeza apabila diselitkan dengan ucapan kata-kata semangat kepada pelajar, terutama mereka yang terjejas teruk ekoran insiden itu.

Perhimpunan dimulakan dengan bacaan doa yang menyelitkan tentang musibah yang melanda, sebelum ucapan para guru yang menaikkan semangat murid, ucapan syabas dan tahniah kerana kehadiran mereka dan sedikit makluman mengenai operasi sekolah setelah sebulan ditutup.

Walaupun kehadiran murid agak kurang ekoran ada antaranya masih bersekolah sementara di kawasan sekitar, mereka yang hadir dilihat cukup bersemangat ketika menyanyikan lagu 'Negaraku', 'Perajurit' dan lagu negeri Sabah. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan