Manifesto Tambahan BN Pahang Diedar Pada Hari Penamaan Calon - Adnan

Diterbitkan: Isnin, 8 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANDAR TUN ABDUL RAZAK: Barisan Nasional (BN) Pahang akan mengedarkan manifestonya sebagai tambahan kepada manisfesto BN pusat, pada hari penamaan calon pilihan raya umum ke-13 nanti.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata manifesto itu dicetak dalam bahasa Malaysia, Cina, Tamil dan Inggeris. Antara yang terkandung dalam manifesto tersebut melibatkan perkara berkaitan perumahan, tanah, alam sekitar, belia dan ekonomi.

"Manifesto itu adalah sebagai memberitahu apa yang akan dilakukan kerajaan BN Pahang bagi menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat serta untuk meningkatkan hasil negeri.

"Kerajaan negeri tidak main main, malah berusaha bersungguh sungguh untuk memajukan negeri selaras dengan transformasi yang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan geran hak milik tanah kepada seramai 671 peneroka Felda Jengka 21 dan 22 di Felda Jengka 22, di sini, Isnin. Berkenaan manifesto BN pusat, Adnan yang juga Pengerusi BN Pahang berkata manifesto itu adalah manifesto yang cukup ikhlas bagi membela dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Beliau berkata janji Perdana Menteri untuk menubuhkan sebuah kementerian bandar bagi mengatasi masalah sosial di bandar selain memberikan perhatian bagi pembelaan masyarakat India dan Orang Asli, amat dialu-alukan.

"Manifesto dan akujanji BN itu jelas, praktikal, ternyata membela rakyat berbanding (manifesto) pembangkang yang hanya sekadar untuk memancing undi," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan