Tiada Kes Selesema Burung H7N9 Dikesan Di Negara Ini - Kementerian Kesihatan

Diterbitkan: Sabtu, 6 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengesahkan tiada sebarang kes selesema burung (H7N9) dalam kalangan unggas dikesan berlaku di negara ini, berdasarkan hasil pemantauan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tiada bukti menunjukkan H7N9 boleh menular daripada manusia kepada manusia.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai mengelak daripada mengunjungi pasar menjual unggas hidup di negara yang terlibat dengan jangkitan avian influenza.

"Mereka yang pulang dari Shanghai, Anhui, Jiangsu dan Zhejiang, China dengan gejala pernafasan dinasihat memakai topeng muka dan segera mendapatkan rawatan perubatan, seterusnya memaklumkan sejarah perjalanan mereka kepada doktor," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Orang ramai juga dinasihat tidak memegang unggas yang ditemui mati, mengamalkan kebersihan diri serta segera mendapatkan rawatan di klinik berhampiran jika mendapat gejala serupa influenza (ILI) terutama mereka yang terlibat dengan pengendalian unggas, katanya.

Noor Hisham juga mengingatkan penternak dan pengusaha ladang unggas agar mematuhi nasihat serta panduan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan melaporkan sebarang kejadian kluster ILI kepada pejabat kesihatan daerah terdekat.

Beliau berkata, kementerian akan terus memantau perkembangan semasa melibatkan jangkitan virus itu, yang disahkan menular di China mulai 29 Mac lepas.

Sehingga 5 April, WHO mengesahkan 16 kes dengan enam kematian disebabkan H7N9 dilaporkan di Shanghai, Anhui, Jiangsu dan Zhejiang, China.

Bagaimanapun, katanya, WHO setakat ini tidak mengeluarkan sebarang nasihat perjalanan atau kenyataan berhubung larangan melawat ke China. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan