Manifesto BN: Belia Dalam Perniagaan Antara Fokus Manifesto BN Pada PRU-13

Diterbitkan: Sabtu, 6 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bagi memenuhi aspirasi belia, Barisan Nasional (BN) akan memperuntukkan tabung, latihan dan insentif kepada golongan belia yang ingin menceburi bidang perniagaan.

Ini adalah antara janji BN yang termaktub dalam manifestonya untuk Pilihan Raya Umum ke-13 ini yang bertemakan 'Menepati Janji, Membawa harapan' yang dilancarkan Pengerusinya, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini malam Sabtu.

BN juga berjanji akan menyediakan ruang komersil di dalam kompleks beli-belah selama sehari pada setiap bulan bagi memudahkan belia yang minat berniaga mempamer serta memasarkan produk kreatif dan perkhidmatan mereka.

Selain mewujudkan inkubator bagi memupuk kualiti kepimpinan dan kreativiti, dan melahirkan belia yang lebih berdaya tahan menerusi aktiviti kesukarelawanan dalam iM4U, janji BN.

BN juga berjanji untuk mengkaji semula undang-undang berkaitan hiburan untuk mempromosi seni persembahan dan kebudayaan, serta melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi di peringkat serantau dan antarabangsa dan mempromosi gaya hidup yang lebih sihat.

BN juga berjanji mewujudkan lebih banyak lokasi WiFi percuma dengan penekanan kepada kawasan luar bandar dan separa bandar.

Kerajaan BN sebelum ini telah mewujudkan Tabung Tindakan Strategik untuk Golongan Muda (SAY 1Malaysia) dengan peruntukan RM200 juta bagi menyediakan latihan kemahiran kepada belia yang terpinggir daripada arus pembangunan perdana.

BN juga akan memperkenalkan Tabung Modal MyCreative dengan peruntukan RM200 juta untuk tujuan menghimpunkan idea dan inovasi baharu daripada belia, serta mewujudkan Tabung Modal Dre1M sebanyak RM130 juta bagi menyokong aktiviti kesukarelawanan dalam kalangan golongan muda selain mewujudkan peruntukan RM50 juta bagi mencungkil bakat ahli sukan lelaki dan wanita di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan