Pusat Media SPR Di Putrajaya Mula Jadi Tumpuan Media

Diterbitkan: Jumaat, 5 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Pusat media di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sini mula menjadi tumpuan pengamal media yang akan membuat liputan pilihan raya umum ke-13.

Beberapa petugas stesen televisyen kelihatan sudah mula memasang kelengkapan mereka sejak pagi Jumaat.

Para petugas SPR sendiri dilihat sibuk memasang serta menyediakan peralatan yang diperlukan pihak media.

Mereka menyediakan dua skrin besar selain dua buah televisyen untuk paparan maklumat terutama mengenai penamaan calon dan keputusan pengundian.

Menurut Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, sejumlah RM200,000 diperuntukkan untuk menyediakan pusat media tersebut yang juga bakal dilengkapi dengan kemudahan Wifi.

"Semua pengumuman yang akan dimaklumkan SPR akan dibuat di pusat media ini termasuk sidang media selepas mesyuarat khas untuk menetapkan hari penamaan calon, tempoh berkempen dan hari pengundian, pada Rabu depan," katanya.

Ia mampu menampung 300 petugas media. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan