Azizah Tiada Dalam Senarai Calon - Azmin

Diterbitkan: Jumaat, 5 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali sekali lagi mengesahkan bahawa Presidennya, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak tersenarai untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.

Azmin yang juga Pengerusi PKR Selangor mengakui bahawa nama Wan Azizah tiada dalam senarai calon PKR di negeri berkenaan.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah buat kenyataan crystal clear yang sangat jelas bahawa Presiden tidak akan bertanding," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Jumaat.

Perkara itu sekali gus menolak kenyataan anak Wan Azizah sendiri yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang tidak mempercayai bahawa ibunya itu tidak akan bertanding.

Dilaporkan bahawa Nurul menolak laporan berita yang memetik kenyataan bapanya sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemubual secara langsung dengan stesyen televisyen Al-Jazeera pada Rabu mengenai kedudukan Wan Azizah pada PRU akan datang.

Mengulas lanjut Mohamed Azmin berkata, parti itu lebih memerlukan khidmat Wan Azizah terutama dalam menyertai kempen di seluruh negara bagi mencapai matlamat yang lebih besar iaitu untuk menuju Putrajaya.

"Presiden mempunyai pengaruh yang kuat terutama di kalangan wanita. Parti secara keseluruhannya memerlukan beliau dalam konteks yang lebih besar.

"Jadi mengapa kita perlu sekat Presiden hanya di satu kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) sahaja sedangkan semua pihak di seluruh negara perlukannya?," katanya.

Sebelum ini Wan Azizah mengakui sedang meneliti secara serius untuk bertanding di salah satu kerusi DUN di Selangor pada PRU akan datang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan