DUN Selangor Bubar Hari Ini, P.Pinang, Kedah, Kelantan Dibubar Esok

Diterbitkan: Khamis, 4 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Selangor pada Khamis membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya umum ke-13 diadakan, negeri pertama daripada empat negeri di bawah pentadbiran pakatan pembangkang berbuat demikian.

Sementara Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan akan membubarkan DUN masing-masing selewat-lewatnya esok.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menandatangani watikah pembubaran DUN Selangor pada 2.30 petang Khamis semasa majlis menghadap di Istana Alam Shah di sini.

Abdul Khalid berkata Speaker DUN Selangor Datuk Teng Chang Khim akan menyerahkan watikah pembubaran itu kepada pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri, Khamis.

Sementara itu, pada sidang akhbar bersama di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Tropicana di Petaling Jaya Khamis, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengesahkan DUN negeri masing-masing akan dibubar selewat-lewatnya esok.

Mereka sebelum itu menghadiri perjumpaan pemimpin parti-parti pembangkang yang turut dihadiri Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan