'Saya Calon Boleh Menang' - Samy Vellu

Diterbitkan: Rabu, 3 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: "Saya seorang calon boleh menang, tidak syak lagi tentangnya. Saya bersedia bertanding semula kerusi parlimen Sungai Siput. Sabotaj dalaman telah membawa kepada kekalahan saya di sana pada (pilihan raya umum) 2008."

Pengisytiharan penuh perasaan ini datang tidak lain dan tidak bukan daripada bekas presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan ia sentiasa merupakan prerogatif Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memutuskan calon bagi Sungai Siput.

Beliau bercakap kepada pemberita di sini Rabu selepas menyampaikan sumbangan RM100,000 kepada anggota keluarga polis yang terkorban dan tercedera dalam insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, di ibu pejabat polis Bukit Aman di sini.

Sumbangan itu adalah daripada Yayasan Pemulihan Sosial, yang mana beliau adalah pengerusinya.

Samy Vellu, yang juga penyelaras BN bagi parlimen Sungai Siput, ditanya sama ada beliau akan bertanding kerusi berkenaan atau kerusi lain pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Najib pada Rabu telah pun mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat.

Pada pilihan raya umum 2008, bekas menteri kerja raya itu kalah di Sungai Siput, kubu kuat MIC, kepada Dr Michael Jeyakumar Devaraj dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang bertanding atas tiket PKR dengan majoriti 1,821 undi.

Menjawab satu soalan, Samy Vellu, yang juga duta khas Malaysia ke India dan Asia Selatan bagi infrastruktur, berkata beliau bersedia untuk bertanding jika perdana menteri memutuskan beliau adalah calon yang tepat bagi komponen BN.

Beliau berpendapat, BN mempunyai peluang yang baik untuk merampas semula Sungai Siput, jika parti komponen itu meletakkan "seorang calon yang baik dan bekerja kuat" dan pada masa sama mengenali rakyat.

Menyentuh kekalahannya pada pilihan raya umum 2008, Samy Vellu menyifatkan ia adalah "satu sejarah menyedihkan" dengan mendakwa bahawa "orangnya sendiri" telah mensabotajnya.

Mengenai persediaan BN di Sungai Siput, Samy Vellu berkata kerja-kerja di lapangan telah bermula kira-kira tiga bulan lalu dan 65 peratus daripada kempen telah diselesaikan.

"Sesungguhnya, isyarat daripada pengundi adalah baik. Jentera pilihan raya kita telah melawat kampung-kampung dan petempatan Felda.

"Pengundi, terutama mereka daripada masyarakat India, kembali menyokong BN kerana sedar bahawa Datuk Seri Najib adalah seorang pemimpin yang berkemampuan dan sentiasa fokus dan memahami bagaimana untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat," katanya.

Menjawab soalan lain, Samy Vellu menjelaskan bahawa tidak wujud "kerusi yang selamat".

"Kamu perlu meletakkan nyawa kamu dan bergelut untuk mendapatkannya. Jika sesiapa yang mahukan sebuah kerusi yang selamat, cara terbaik adalah dengan tidak bertanding. Mereka yang meminta untuk kerusi-kerusi selamat bukan seorang wira.

"Kamu (juga) perlu untuk bergelut untuk satu kerusi. Seperti Sungai Siput, ia adalah satu kerusi yang sukar, kita mesti bergelut untuknya dan kita (akan) memenanginya. Dan, kami sangat gembira mendapat sokongan rakyat," katanya.

Pecahan etnik semasa di Sungai Siput adalah 31 peratus Melayu, 41 peratus Cina, 23 peratus India dan lima peratus kaum lain. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan