Adnan Sedia Bubar DUN Pahang Jika Dewan Rakyat Dibubar Esok

Diterbitkan: Selasa, 2 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob sudah bersedia untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang jika benar Dewan Rakyat dibubarkan esok.

"Spekulasi mengenainya (pembubaran Dewan Rakyat) sudah bermula dua tahun lalu, sudah lama, jadi kemungkinan itu memang ada (bubar esok). "Tapi, saya percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ada strateginya tersendiri.

"Lagipun, banyak lagi perancangan seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) yang perlukan perhatian," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 di Kompleks SUKPA, di sini, Selasa.

Beliau juga menegaskan pembubaran DUN Pahang tidak akan dibuat lebih awal daripada tarikh penggal berakhir. DUN Pahang akan terbubar secara automatik pada 8 April ini jika tidak dibubarkan lebih awal daripada tarikh berkenaan. Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang di bawah perkara 26 Fasal 3, Dewan Negeri hendaklah berjalan terus selama lima tahun daripada tarikh persidangan yang pertama dan hendaklah terbubar pada hujung tempoh itu kecuali jika dibubarkan terlebih dahulu.

Pada majlis hari ini sebanyak 3,974 orang yang terdiri daripada individu bujang dan ketua keluarga yang layak menerima BR1M 2.0 masing-masing. Individu bujang menerima RM250, manakala ketua keluarga pula menerima RM500.

Turut hadir pada majlis itu Anggota Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Inderapura Datuk Shafik Fauzan Shariff.

Mengulas perkara lain, Adnan berkata Barisan Nasional (BN) Pahang tidak gentar berdepan dengan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Pulau Manis Datuk Mohd Ariff Sabri Abd Aziz yang diletak DAP bertanding di kerusi Parlimen Raub.

Katanya beliau juga tidak terkejut dengan pengumuman DAP mempertaruhkan Mohd Ariff Sabri di kawasan itu.

Beliau pernah bersama BN dulu dan ternyata gagal sebagai wakil rakyat, dan masyarakat tahu menilai kredibiliti seseorang calon dan parti yang diwakilinya, kata Adnan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan