PM Umum Tambahan 1,000 Unit Motosikal Untuk URB

Diterbitkan: Ahad, 31 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Sebahagian Anggota Unit Ronda Bermotosikal, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membaca ikrar di hadapan Perdana Menteri semasa majlis bersama unit tersebut di Padang Seksyen 13 USJ, Subang Jaya pada Sabtu.-fotoBERNAMA
Sebahagian Anggota Unit Ronda Bermotosikal, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membaca ikrar di hadapan Perdana Menteri semasa majlis bersama unit tersebut di Padang Seksyen 13 USJ, Subang Jaya pada Sabtu.-fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju memberi peruntukan khas bagi menambah sejumlah 1,000 motosikal untuk Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata peruntukan fasa kedua URB itu akan diberi selepas PDRM memberi latihan dan mengenal pasti pasukan serta anggotanya untuk ditempatkan dalam unit berkenaan.

"Menyedari program ini sangat berkesan, kerajaan akan beri peruntukan khas untuk fasa kedua iaitu 1,000 lagi unit (motosikal) untuk URB dan ia akan dapat digerakkan dalam masa terdekat," katanya ketika melancarkan URB di Subang Jaya, Sabtu.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar serta Timbalan Menteri Dalam Negeri iaitu Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Datuk Lee Chee Leong.

Semasa membentang Belanjawan 2013, Najib mengumumkan pewujudan 1,000 unit motosikal dengan peruntukan RM20 juta bagi URB untuk memantau kawasan perumahan.

Bagi peringkat permulaan, sebanyak 560 daripada 1,000 unit motosikal Kawasaki Ninja 250R yang dilengkapi sistem lampu serta siren disediakan untuk pelaksanaan program berkenaan di empat negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Najib berkata beliau menggalakkan pasukan URB mengenali masyarakat di tempat rondaan mereka lebih dekat supaya aktiviti pencegahan jenayah dapat dilakukan dengan lebih efektif.

"Bila mereka bukan sahaja buat rondaan tetapi kenal (penduduk) secara dekat, kenal persatuan penduduk tempatan, kenal suri rumah tangga di situ, kenal rumah-rumah yang mungkin menjadi sasaran perompak, tahu siapa yang disyaki di satu-satu kawasan, maka kesannya amat besar.

"Kita tak perlu tunggu orang buat laporan di balai polis, tetapi URB ada di sisi masyarakat tempatan sepanjang masa," katanya.

Perdana Menteri berkata pasukan URB mesti melakukan rondaan sepanjang waktu, terutama pada waktu malam, selain perlu dilengkapi alat komunikasi supaya dapat bertindak dengan cepat apabila menerima panggilan kecemasan.

"Mereka boleh menjadi yang pertama tiba di lokasi kejadian dalam kadar yang pantas, ini akan mewujudkan nilai pencegahan jenayah yang tinggi. Bila ada URB, masa untuk bertindak atas setiap panggilan kecemasan dikurangkan dan lebih ramai penjenayah diberkas," katanya.

Najib berkata pasukan URB perlu membawa kegiatan kepolisan itu semakin dekat dengan masyarakat supaya tidak wujud jurang pemisah antara masyarakat dan polis.

"Masyarakat tidak harus lihat polis sebagai satu agensi yang jauh dari mereka atau lebih berat dari itu, mereka takut apabila melihat polis. Bila kita perkenalkan konsep 'mesra rakyat' pasukan polis, perasaan (takut) itu harus diganti dengan rasa bahawa bila nampak polis, tahap keyakinan mereka meningkat," katanya.

Menegaskan inilah komitmen kerajaan untuk membanteras jenayah, Perdana Menteri meminta rakyat supaya tidak bersikap sinis terhadap setiap usaha kerajaan.

Katanya, beliau turut berbangga dengan segala usaha yang dilakukan untuk memerangi jenayah yang mana hasilnya sangat menggalakkan, iaitu kadar jenayah negara secara keseluruhannya berkurangan sebanyak 27 peratus di bawah Program Transformasi Kerajaan bagi tempoh 2009 hingga 2011. Najib berkata di sebalik pencapaian itu, usaha untuk memerangi jenayah perlu diteruskan malah dilipatgandakan lagi.

"Ini saya percaya boleh kita lakukan berdasarkan tema perjumpaan hari ini iaitu United Against Crime (Bersama Membanteras Jenayah) yang mana kalaulah usaha memerangi jenayah disokong dan didokong secara aktif bukan secara pasif, dan disertai oleh rakyat mengikut kemampuan masing-masing, kadar jenayah negara pasti dapat dikurangkan ke tahap minimum pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, penduduk Subang Jaya melihat kewujudan URB dapat mempertingkat keyakinan terhadap keselamatan mereka di dalam dan luar rumah.

"Kita ada pengawal keselamatan di kawasan perumahan tetapi masih berlaku jenayah ragut dan kecurian. Saya berharap inisiatif kerajaan memperkenal URB dapat membanteras jenayah di kawasan ini," kata Mohamad Nohsamik yang juga Setiausaha Persatuan Penduduk Jalan SS19.

Perasaan itu turut dikongsi Erik Woo, 38, yang yakin inisiatif terbaharu berkenaan dapat membantu mencegah jenayah di kawasan tersebut.

"Perompak dilihat semakin berani melakukan jenayah semasa penghuni berada di rumah dengan menggunakan parang dan sebagainya. URB ini dapat meningkatkan keyakinan masyarakat berhubung tahap keselamatan mereka," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan