Usah Terpedaya Janji Manis Pembangkang - Liow

Diterbitkan: Jumaat, 29 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BENTONG: Rakyat terutamanya masyarakat Cina di negara ini diminta agar tidak lagi terpedaya dengan janji manis parti pembangkang yang mudah menabur pelbagai janji, semata-mata mahu memancing undi pada pilihan raya umum ke-13, (PRU-13).

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pilihan raya umum 2008 membuktikan, kerajaan pembangkang di beberapa negeri yang dikuasai pakatan pembangkang gagal melaksanakan segala janji ketika berkempen sebelum itu.

"Saya berharap rakyat jangan mudah terperangkap dengan segala janji manis baharu itu kerana pembangkang hanya berjanji kosong dan tidak seperti Barisan Nasional (BN), janji ditepati dan ditunaikan.

"Rakyat akan rugi jika menyokong pembangkang kerana pembangkang tidak akan dapat berbuat apa-apa pun untuk kebaikan rakyat melainkan BN yang mampu membela dan melaksanakan pembangunan untuk rakyat," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Jentera Pilihan raya BN Parlimen Bentong di sini yang dirasmikan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Liow yang juga Menteri Kesihatan dan anggota Parlimen Bentong berkata beliau yakin lebih 62,400 pengundi Parlimen Bentong akan tetap menyokong BN dan menolak pembangkang pada PRU-13.

"Saya yakin pengundi kawasan Parlimen Bentong akan terus memberikan sokongan padu kepada BN dan tidak mahu melihat Bentong mundur, malah ingin menjadikan Bentong sebagai daerah yang pesat membangun.

"Kerajaan akan melaksanakan lebih banyak projek pembangunan di daerah Bentong, rakyat perlu memberikan sokongan supaya BN dapat memastikan daerah ini terus pesat membangun," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan