Operasi Daulat: JPAM Pikul Tanggungjawab Sama Seperti PDRM, ATM

Diterbitkan: Jumaat, 29 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LAHAD DATU: Sebagaimana unit pasukan keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) turut tidak terkecuali memikul tanggungjawab memastikan Operasi Daulat berjalan dengan baik.

Meskipun tidak memikul senjata, tugas mencabar yang dihadapi JPAM ialah menjaga kebajikan dan memberi perlindungan kepada penduduk yang dipindahkan ekoran pencerobohan pengganas militan dari selatan Filipina di sini.

Ia menuntut ketahanan fizikal dan mental anggotanya.

Menceritakan pengalaman awal JPAM sebelum Operasi Daulat bermula 5 Mac lepas, Komander Operasi JPAM di Felda Sahabat 16, Kol Abd Wahab Rahim berkata pihaknya dimaklumkan pada tengah malam 4 Mac oleh pengurusan Felda di sini mengenai dua dewan - Embara Budi dan Fajar Harapan - yang masing-masing menempatkan dalam 200 penduduk dari Kampung Tanduo, Tanjung Labian, Sungai Bilis, Tanagian dan Sinakut.

"Penduduk di kampung-kampung berkenaan mengambil inisiatif sendiri berkumpul di situ. Ada antara mereka datang berjalan kaki dan sesetengahnya menaiki kenderaan. Pada tengah malam itu juga saya dan beberapa pegawai terus datang ke situ.

"Kami membawa makanan mengikut jumlah yang diberikan, malangnya yang datang berkumpul lebih ramai, lebih 600 orang, sudah tentu kami kekurangan makanan untuk diagihkan," katanya.

Abd Wahab berkata sebelum pertempuran pertama pasukan keselamatan dengan pengganas Sulu berlaku 1 Mac lepas, beliau dan anggota JPAM dinasihatkan polis supaya tidak memasuki kawasan itu kerana bimbang terdapat musuh yang lari bersama-sama penduduk.

"Saya tekadkan hati (pada 5 Mac) untuk masuk juga sebab saya kata pada polis ini tanggungjawab saya dan mereka cuba mengiringi saya.

"Selepas dapat masuk ke dewan berkenaan, keadaannya amat padat dan saya terpaksa mengedarkan makanan secepat mungkin. Ketika itu saya merasakan suatu perasaan kurang enak semacam beberapa pasang mata asyik merenung saya. Tetapi saya buangkan perasaan itu jauh-jauh demi tugas saya menjaga kebajikan mereka," katanya.

Kampung Tanduo terletak kira-kira tujuh kilometer dari Embara Budi.

JPAM yang berfungsi melakukan tugas-tugas menyelamat dan menyelia mangsa bencana dan kemalangan di seluruh negara, katanya, membelanjakan kira-kira RM30,000 dalam tiga hari sahaja untuk membeli bekalan makanan bagi penduduk yang terlibat.

"Alhamdulillah, ramai juga yang menghulurkan bantuan seperti tilam, bantal, makan minum, pakaian dan barangan keperluan bayi. Tugas kami ialah mengagih-agihkan kesemua sumbangan itu kepada mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan," katanya.

Abd Wahab berkata dengan kekuatan 50 orang, anggota JPAM bertugas di empat dewan serbaguna - Embara Budi, Fajar Harapan, Cenderawasih dan Gemala Pura - yang dijadikan pusat penempatan sementara.

Insiden pencerobohan militan dari selatan Filipina di Kampung Tanduo, sejak 12 Februari lepas mengakibatkan penduduk di sembilan kampung - Tanduo, Sungai Nyamuk, Tanjung Batu, Tanjung Labian, Sungai Bilis, Lok Buani, Sungai Merah, Tanagian dan Sinakut - terpaksa keluar mencari tempat perlindungan. BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan