Lim Sedia Semuka Dengan Teng Di Kerusi Padang Kota

Diterbitkan: Jumaat, 29 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Lim Guan Eng menyahut cabaran Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Teng Chang Yeow untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP, berkata beliau akan bertanding menentang Teng di kerusi DUN Padang Kota, di mana Teng bertanding dan menang selama tiga penggal sebelum beliau tewas kepada wakil DAP, Chow Kon Yeow pada 2008.

"Oleh kerana Teng mahu bersemuka, lebih baik kita kembali kepada kawasan asal yang ditandinginya ketika beliau menjadi Adun selama tiga penggal.

Sebuah portal berita memetik Teng sebagai berkata beliau sanggup bertanding menentang Lim pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Teng yang juga Setiausaha Agung Gerakan berkata demikian apabila ditanya sekiranya dia cukup berani untuk mencabar Lim pada PRU-13.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan mana-mana kerusi tertentu.

Teng merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Kota untuk tiga penggal berturut-turut (1995, 1999 dan 2004) sebelum kerusi tersebut dirampas pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pada pilihan raya umum 2008.

Lim berkata dia bersedia untuk memberi laluan kepada Chow untuk bertanding di kerusi Dewan Undang Negeri (DUN) Air Putih.

Teng yang dipercayai akan bertanding di kerusi DUN Bukit Tengah dijangka akan mengadakan sidang media mengenai cabaran Lim pada Jumaat.

Chow berkata dia akan menunggu keputusan Teng sebelum memberikan respons.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) negeri, Tan Cheng Liang membidas Lim dengan menyifatkan beliau bertindak seperti diktator.

Beliau berkata, Lim turut bimbang sekiranya Chow akan mengambil alih tugasnya sebagai Ketua Menteri.

"Beliau sentiasa menganggap Chow sebagai ancaman untuk jawatannya," kata Tan ketika dihubungi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan