Saya Sedia Bertading di Saratok - Mawan

Diterbitkan: Khamis, 28 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan menyatakan kesediaannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Saratok pada Pilihan Raya Umum Ke-13 sekiranya diminta berbuat demikian oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN).

Mawan, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, berkata beliau sudah biasa dengan kawasan itu dan bersedia bertanding sekiranya ia boleh membantu BN memertahankan kerusi Parlimen itu, yang mengandungi dua kerusi negeri, termasuk Krian, yang kini disandang Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Sekiranya saya diminta (bertanding) dan sekiranya ia akan membantu memberi kemenangan kepada BN, kenapa tidak? Kini, saya bekerja tanpa henti di empat kawasan Parlimen yang diamanahkan kepada SPDP," kata Mawan kepada pemberita selepas menyampaikan geran berjumlah RM5 juta kepada 45 persatuan sukan dan enam pertubuhan belia di Dewan Suarah Kuching, di sini, Khamis.

Kerusi Parlimen Saratok kini disandang Timbalan Menteri Pengangkutan Jelaing Mersat.

Menyentuh spekulasi bahawa calon lain akan dipilih untuk menggantikan Jelaing bertanding di kawasan itu, Menteri Pembangunan Sosial negeri ini berkata:

"Ini bukan bererti saya mahu menjadi calonnya, tapi sekiranya itu merupakan keputusan pucuk pimpinan untuk memastikan kami (BN) menang, maka kita perlu mengetepikan pendapat dan perasaan peribadi."

Diminta mengulas tentang spekulasi bahawa penyandang kerusi Parlimen Baram Datuk Jacob Sagan mungkin digantikan pada saat-saat akhir, Mawan berkata semua keputusan SPDP tentang pemilihan calon tertakluk kepada kata putus pucuk pimpinan BN.

"Bagi SPDP, kami (dewan tertinggi parti) sudah buat keputusan mengenainya sejak lama dulu. Bagaimanapun, sebagai anggota komponen BN yang setia, kami tidak boleh dan tidak akan membuat kata putus tentang pemilihan calon.

"Semuanya tertakluk kepada penilaian barisan kepimpinan tertinggi untuk menjamin kemenangan, untuk kepentingan BN dan demi kelangusngan hidup parti," katanya.

Pada pilihan raya umum akan datang, SPDP dijangka mempertahankan empat kerusi yang disandangnya - Baram, Saratok, Mas Gading dan Bintulu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan