Hari Pertama Kerajaan Sementara Berjalan Seperti Biasa - Mohamad Hasan

Diterbitkan: Khamis, 28 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

REMBAU: Urusan pentadbiran kerajaan sementara Negeri Sembilan yang bermula hari ini berjalan seperti biasa, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya beliau dan 10 anggota exco tetap melaksanakan tugas seperti hari-hari lain sebelum ini sekalipun Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah terbubar.

"Tiada masalah. Cuma yang membezakan adalah peranan kita iaitu sebagai kerajaan sementara ini kita tidak boleh membuat keputusan besar-besar terutama berkaitan soal dasar yang boleh memberi implikasi kepada rakyat dan kerajaan akan datang," katanya.

"Selain daripada itu kita masih lagi sebuah kerajaan yang sama yang bertujuan menjaga kebajikan masyarakat kerana sebagai sebuah negeri kita memang perlukan kerajaan kalau tidak kita akan jadi negeri anarki," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan geran hak milik tanah kepada 55 penduduk Kampung Pasir Siliau dan Kampung Pasir Tengah, Rantau di sini, Khamis. Mohamad juga berkata pihaknya tidak hairan jika ada kritikan terhadap kerajaan sementara itu kerana sebelum ini sudah kedengaran dakwaan Negeri Sembilan akan ditadbir kerajaan haram apabila DUN terbubar.

Mengenai penyerahan geran hak milik tanah itu, Mohamad berkata perkara berkenaan dilakukan atas keprihatinan kerajaan untuk membela nasib penduduk yang telah tinggal sekian lama di kawasan tersebut.

"Tanah tersebut milik kerajaan namun kerajaan tidak mempunyai apa-apa projek di kawasan ini jadi kita membuat keputusan untuk menyerahkan kepada penduduk yang telah tinggal di kawasan ini," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan