Semua Parti Siap Sedia

Diterbitkan: Rabu, 27 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak kini dilihat sebagai ahli politik yang paling sibuk dalam tempoh masa terakhir sebelum pilihan raya umum.

Namun bukan Perdana Menteri sahaja yang mempunyai jadual kerja yang padat malah kedua-dua parti, sama ada Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat terus memperhebatkan kempen mereka sementara menunggu Dewan Rakyat dibubarkan.

Ahli politik di kawasan luar bandar yang majoritinya masyarakat Melayu menjadi tumpuan utama dan banyak undangan perkahwinan diterima serta acara komuniti lain turut diadakan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan dan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata beliau menerima banyak undangan majlis perkahwinan untuk dihadiri.

“Ramai juga pengundi di luar kota balik ke kampung halaman dan ini penting untuk kita berhubung dengan mereka,” katanya.

Ahli politik di kawasan bandar dan kawasan pinggir bandar berkata musim cuti sekolah tidak banyak berbeza kerana jadual kerja mereka tetap padat dengan pelbagai aktiviti.

Naib Presiden MCA dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim berkata beliau juga turut menerima banyak undangan kebelakangan ini, namun beliau tidak mempunyai terlalu banyak masa untuk menghadiri semuanya.

“Saya cuba untuk memenuhi semua undangan tersebut namun ada juga cabarannya,” tambahnya.

Ahli politik DAP pula berkata musim cuti sekolah tidak memberi kesan kepada majlis yang diadakan oleh parti itu.

Ketua Pemuda DAP dan Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke berkata: “Kami telah mengurangkan aktiviti peribadi sejak Januari kerana kami fikir Parlimen akan dibubarkan selepas perayaan Tahun Baru Cina.”

Rakan sejawatnya yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata DAP telah mula berkempen dengan gigih sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata beliau bekerja sehingga 17 jam sehari dan sering membuat lawatan rumah ke rumah.

“Saya telah mengedarkan rantai kunci dengan label ‘Koi Orang Temerloh’ (Saya Orang Temerloh) yang merupakan jenama yang saya gunakan sejak 2008,” katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata beliau sering melawat ibu-ibu tunggal, rumah orang tua-tua dan rumah anak-anak yatim.

Ketua Penerangan Umno Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Semarang, Datuk Samsol Bari Jamali berkata beliau sangat sibuk dan menghabiskan masa berjumpa dengan pengundi, menghadiri satu hingga empat majlis dalam sehari, tidak termasuk aktiviti parti.

Wakil rakyat Gambir, M. Asojan berkata beliau menghabiskan masa tiga dalam tempoh seminggu untuk bertemu dengan pengundi.

iklan

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan