Lahad Datu: Pandangan Dari Sebuah Bot Mengenai Zon Konflik

Diterbitkan: Rabu, 27 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Juruvideo dan anggota polis marin melihat persisiran pantai dari bot yang dinaiki kami.
Juruvideo dan anggota polis marin melihat persisiran pantai dari bot yang dinaiki kami.

LAHAD DATU: Saya tidak tahu apa yang perlu dijangkakan apabila saya akhirnya dibenarkan untuk mengikuti polis marin ke laut selepas memujuk mereka selama tiga hari, tetapi saya begitu teruja, dan mengakui berasa gementar.

Pada pukul 9 pagi Sabtu lepas, saya, bersama-sama dengan tiga juruvideo dari pelbagai stesen televisyen, diiringi polis, polis marin dan tentera bagi menaiki bot dengan tiga enjin (PSC Class) dari jeti Felda Sahabat 16 ke Sungai Bilis, kira-kira 12 kilometer dari sini.

Saya menuruni tangga untuk menaiki bot berkenaan dan dialu-alukan oleh beberapa anggota bersenjata – satu pandangan yang menenangkan perasaan gemuruh saya.

Kami berpecah kepada dua bot – PSC 51 dan 52 – ditemani oleh “pengawal peribadi” kami, yang membuatkan saya berasa sebagai individu yang amat penting, dan kemudiannya berlayar di laut tenang, kira-kira setengah batu nautika atau satu kilometer jauhnya dari persisiran pantai.

Perkara pertama yang dapat dilihat ialah deretan pokok-pokok yang begitu panjang apabila melintasi Kampung Tanduo – kampung pertama yang dicerobohi pada 12 Februari dan terdapat surau berbumbung warna biru di mana lebih 100 pengganas Sulu dilaporkan mendarat di sana buat pertama kali sewaktu ketibaan mereka.

Kami melalui Sungai Nyamuk dan Tanjung Baru selepas itu dan tertanya-tanya siapakah yang bersembunyi di sebalik pokok-pokok itu.

Terdapat struktur yang telah rosak ekoran daripada pertempuran sebelum ini.

Kemudiannya, saya melihat satu jambatan yang dipercayai digunakan sebagai satu salah satu lokasi persembunyian untuk kumpulan militan itu sebelum pasukan keselamatan melepaskan mortar di kawasan berkenaan bagi mengusir mereka keluar dari Sabah.

Saya melihat kepulan asap di Sungai Nyamuk dan berharap agar mortar yang dilepaskan itu tidak membazir begitu sahaja.

Kami diberitahu oleh jurupandu kami, pegawai Operasi/Perisikan bagi Polis Marin, Abdul Aziz Abu Hashim bahawa kawasan itu masih dalam proses pembersihan saki-baki lelaki bersenjata dan kami bertuah kerana dapat melihat letupan itu dari jauh.

Sebuah helikopter berlegar-legar di udara mengelilingi kawasan itu bagi mengesan ancaman di darat dan saya tahu bahawa mereka juga, ingin mengakhiri operasi itu supaya semua orang boleh meneruskan kehidupan.

Semakin jauh, kami dapat melihat rumah api di kawasan itu yang menjadi panduan bagi bot marin dan bot nelayan tempatan tetapi malangnya, ia digunakan oleh penceroboh untuk menjadi jalan memasuki kawasan tersebut.

Saya bertanya kepada diri saya apakah yang akan berlaku sekiranya seseorang menembak kami. Di mana saya perlu pergi? Terjun ke laut atau menunggu sehingga bantuan tiba? Tetapi kami melepasi kawasan itu tanpa sebarang insiden.

Sepintas lalu, terdapat beberapa anggota tentera membuat rondaan di persisiran pantai tetapi tiada tanda-tanda orang tempatan di kawasan berkenaan, apabila kebanyakan mereka sudah meninggalkan kediaman dan menetap sementara di pusat perlindungan ekoran pencerobohan di Lahad Datu.

Kami kembali ke pangkalan dengan selamat, dan berharap agar suatu hari nanti apabila kami dapat menjejaki zon mereka dan melihat sendiri apabila yang telah berlaku pada kampung-kampung yang terlibat dalam pertempuran Ops Daulat, dalam usaha pasukan keselamatan untuk mengusir musuh.

*Pasukan keselamatan Malaysia melancarkan serangan menyeluruh pada 5 Mac lalu bagi menentang kumpulan lelaki bersenjata Sulu dari selatan Filipina yang bersembunyi di Kampung Tanduo sejak 9 Februari. Setakat ini, seramai 67 lelaki bersenjata terbunuh dalam Ops Daulat, manakala lebih 100 orang telah ditahan dan lapan didakwa di mahkamah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan