Bahang PRU-13 Semakin Terasa Dengan 'Perang Video' Di Youtube

Diterbitkan: Rabu, 27 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Video animasi bertajuk
Video animasi bertajuk "Mr Mansuh" menjadi antara video menarik perhatian ramai apabila ia dimuat naik di Youtube menjelang pilihan raya.

PETALING JAYA: Tarikh pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) masih menjadi tanda tanya namun 'perang' pilihan raya telah bermula dengan internet menjadi medan utama untuk tujuan ini.

Setelah para bloger menggunakan blog mereka untuk mengemukakan pendapat, menangkis isu atau mempertahankan mana-mana ahli politik, baru-baru ini muncul beberapa video yang dibikin khas sempena pilihan raya dan dimuat naik di internet melalui laman sosial Youtube.

Video-video ini secara tidak langsung telah menerbitkan 'bahang' kempen pilihan raya yang mana ia boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Video bertajuk "Mr Mansuh" misalnya menarik perhatian ramai apabila pembuat video berkenaan menggunakan kreativitinya untuk menonjolkan watak seorang pemimpin yang membuat janji-janji manis kepada masyarakat.

Video animasi berdurasi 2.37 minit ini turut diselitkan dengan lagu, berserta lirik mengenai pemansuhan tol, pemansuhan pinjaman pendidikan dan penurunan harga minyak.

Sambil itu, karektor pemimpin berkenaan digambarkan melalui watak seorang wira atau 'superhero' yang mampu membawa perubahan dan kesenangan kepada masyarakat.

Sejak dimuat naik dua minggu lalu, video ini telah ditonton oleh 5,173 penonton.

Seramai 65 orang daripada mereka yang menonton video ini memberi tanda 'like'.

Sebuah lagi video di laman sosial sama dan manjadi tontonan ramai ialah video gabungan ucapan beberapa pemimpin negara yang diambil pada waktu dan lokasi berbeza.

Melalui video ini, dapat dilihat ia telah melalui satu proses suntingan yang dilakukan dengan teliti sehingga seolah-olah terhasilnya babak perbincangan politik di antara mereka.

Dimuat naik di Youtube kira-kira tiga minggu lalu, video berdurasi 3.17 minit ini telah ditonton sebanyak 250,219 kali.

Selain itu, terdapat juga video "Lagu Kempen Umno" yang memaparkan aksi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang berucap.

Aksi perdana menteri ketika menyampaikan ucapan itu telah disunting menjadi aksi seolah-olah Najib sedang menyampaikan sebuah lagu kempen yang diberi judul "Kita Tahu".

Video yang disiarkan di Youtube sejak dua bulan lalu ini telah ditonton sebanyak 10,357 kali.

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan