SPAD Saran Worldcabs Usul Cadangan Tambah Baik Industri Teksi

Diterbitkan: Sabtu, 23 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyarankan supaya Worldcabs Sdn Bhd mengusulkan cadangan mereka dalam menambahbaik industri teksi di negara ini.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, apa sahaja yang ingin dilakukan seharusnya dicadangkan kepada SPAD yang bertanggungjawab dalam industri pengangkutan awam darat.

“Apapun yang baik, mendatangkan manfaat dan penambahbaikan dalam industri ini dialu-alukan tetapi mereka perlu mencadangkannya kepada kita terlebih dahulu.

“Kita boleh berbincang kerana kita juga belajar daripada mereka sebagai pemain dalam industri dan akhirnya kita hendak mencapai yang terbaik,” katanya kepada para pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara SPAD dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) di sini, Jumaat.

Beliau mengulas mengenai rancangan Worldcabs, sebuah usahasama antara Airport Limo (M) Sdn Bhd dan Koperasi Petekma (Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia) yang bermatlamat untuk menjadi platform dalam transformasi dan liberalisasi industri teksi di negara ini.

Syed Hamid berkata, setakat ini tiada cadangan yang diusulkan daripada pihak berkenaan sebelum ia dilaksanakan.

“Mereka tidak bentangkan apa-apa kepada kita. Bila dalam perancangan, biarkan dalam perancangan. Bila mereka datang kepada kita, baru kita akan lihat (kaji).

“Ini mungkin pemandu teksi bandar hendak mendapat manfaat daripada liberalisasi. Tetapi kita punya pelan pun, sudah ada untuk meliberalisasi industri ini. Apapun, kita lihat dulu cadangan sebenar mereka sebelum mengulas lanjut,” katanya.

Worldcabs yang ditubuhkan pada 19 Disember tahun lepas merupakan usahasama antara Airport Limo (M) Sdn dan Koperasi Petekma (Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia).

Ia turut merancang untuk membawa industri teksi ke peringkat lebih tinggi dari segi kebajikan pemandu, kualiti perkhidmatan, pendapatan, keselamatan dan kepuasan pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Worldcabs, Abdul Gaffor Mohamed Mydin berkata, industri teksi tempatan memerlukan satu platform untuk diliberalisasi di samping menaikkan pendapatan pemandu.

“Airport Limo dan Petekma mempunyai kepakaran dan pengalaman masing-masing dalam sektor ini. Banyak cara yang perlu dikomersialkan lagi terutama dari segi kebajikan dan pendapatan pemandu teksi,” katanya dalam satu temuramah mStar Online, baru-baru ini.

Abdul Gaffor berkata, satu entiti perlu dilakukan bersama dengan melibatkan banyak pihak untuk memberi sumbangan positif dalam industri teksi tempatan dan Worldcabs bertindak sebagai pengurus dalam memudahkan cara dan matlamat itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan