PRU-13: BN Johor Bersedia Berdepan Pembangkang

Diterbitkan: Sabtu, 23 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor bersedia berdepan serangan pembangkang yang telah memindahkan "calon boleh menangnya" untuk bertanding di sini, kata Ahli Parlimen Johor Baru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Beliau berkata BN negeri tidak bimbang memandangkan ahli Parlimen dan Adun BN telah bekerja keras sejak 2008.

"Kita tidak pernah mengambil perkara ini mudah kerana Johor adalah kubu kuat untuk BN. Pengundi tahu apa yang telah kita lakukan di negeri ini," katanya.

Shahrir berkata DAP mahu berdepan dengan MCA kerana ia mahu menjadi parti dominan untuk mewakili orang Cina.

Serangan DAP diketuai oleh veteran Lim Kit Siang.

Seorang lagi calon DAP, S.Ramakrishnan dijangka akan bertanding di Labis manakala anggota jawatankuasa eksekutif pusat, Liew Ching Tong dikatakan akan bertanding Kluang.

Ketua Penerangan Umno Johor Datuk Samsol Bari Jamali berkata serangan ini adalah sesuatu yang telah dijangka.

"Kami kini lebih bersatu dan merapatkan jurang untuk memastikan kami boleh mengalahkan mereka," katanya.

Setiausaha MIC Johor M. Asojan berkata beliau terkejut dengan bilangan "calon payung terjun" pembangkang yang telah dihantar ke Johor.

"Banyak isu-isu mengenai masyarakat India telah diselesaikan dengan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman sendiri mengkaji perkara itu," katanya.

"Saya ingin tahu dan melihat apa yang boleh ditawarkan calon-calon payung terjun ini," katanya.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata beliau tidak gentar dengan serangan Pakatan.

Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau berkata rakyat boleh melihat pelbagai program yang dilaksanakan untuk rakyat.

Beliau yakin ramai kaum India telah kembali kepada BN.

Naib Presiden MCA Gan Ping Sieu berkata pengundi Johor masih akan menyokong BN.

"Rakyat Johor telah menikmati pertumbuhan yang memberangsangkan dan kemakmuran dengan kebangkitan zon ekonomi di Pengerang dan Wilayah Pembangunan Iskandar," katanya.

"Mereka boleh datang ke sini tetapi mereka tidak harus mengharapkan kemenangan mudah."

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan