Persediaan PRU-13 Lebih 90 Peratus Siap - SPR

Diterbitkan: Sabtu, 23 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BENTONG: Semua persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), antaranya dari segi logistik, penyediaan premis dan pemilihan petugas kini berada pada tahap lebih 90 peratus siap.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pihaknya kini hanya menunggu pembubaran Parlimen dan selepas penetapan tarikh penamaan calon dan hari pengundian, baki persiapan PRU akan disiapkan sepenuhnya.

"...Semua telah disediakan, termasukundang-undang juga yang perlu dipinda, borang-borang, kemudahan ICT... pegawai-pegawai, petugas-petugas telah dikenal pasti, dilatih, diberi taklimat dan diberi latihan amal.

"Jadi semua perkara kita dah rancang dengan teliti, latihan telah dibuat, semangat telah diberi, bajet telah ada, dari segi persediaan kecuali helikopter, kapal terbang yang kita tak boleh tempah sekarang sebab bayaran dikira harian, kalau dah betul esok...akan dimaklumkan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikiankepada pemberita selepas memberikan ucapan di majlis taklimat akhir PRU-13 bagi pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, di Bukit Tinggi dekat sini, hari ini yang merupakan kumpulan terakhir dalam sesi taklimat ulangan PRU-13 seluruh negara. Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan watikah pelantikan pegawai pengurus pilihan raya (RO) dan pegawai penolong pengurus pilihan raya bagi Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.

Berpuas hati dengan segala persediaan setakat ini, Aziz berharap segala persediaan dan pembaharuan yang dilakukan, digunakan pengundi, pemimpin parti dan calon-calon sebaik mungkin, seterusnya memastikan PRU-13 berjalan dengan baik.

"Saya berani jamin, PRU-13 ini tidak akan jadi yang terkotor, SPR telah berusaha sedaya upaya supaya PRU ini berjalan dengan bersih dan tidak banyak kesilapan, kita dah buat latihan berulang, perancangan yang lama dengan peralatan lengkap, mengadakan tempat mengundi yang cukup dan pindaan kepada undang-undang, peraturan dan borang, begitu juga memberi peluang mengundi kepada semua orang," katanya.

Bagaimanapun, Aziz berkata beliau sedikit kecewa dengan jumlah rakyat Malaysia di luar negara yang memohon untuk mengundi pos, di mana menurutnya sehingga semalam, hanya terdapat 5,590 permohonan.

Menyifatkan jumlah itu sebagai tidak memuaskan, beliau berkata daripada permohonan itu, sebanyak 713 ditolak kerana tidak layak antaranya disebabkan pemohon tidak berdaftar sebagai pengundi dan pengundi tidak cukup umur.

Menurut beliau, permohonan tertinggi adalah dari Australia, diikuti United Kingdom, China, Amerika Syarikat dan Qatar.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata dakwat kekal yang akan digunakan pada hari pengundian, akan diedarkan kepada negeri-negeri pada hari pembubaran Parlimen.

"Sebanyak 10,000 botol untuk undi awal, 200,000 botol untuk undi biasa...ketahanan dakwat kekal ini berbeza, untuk undi awal lebih lama dan warna botolnya pun lain," katanya.

Mengenai kebenaran setiap parti politik menyiarkan manifesto masing-masing di Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama 10 minit, beliau berkata pihaknya akan berjumpa dengan pihak Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan parti-parti politik dalam masa terdekat bagi membincangkan lebih lanjut mengenainya.

Orang ramai kini boleh melayari laman web www.PRU13.gov.my, bagi mengetahui antara lain, pusat mengundi dan maklumat penting mengenai PRU-13. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan