Misi Worldcabs Transformasi Landskap Industri Teksi Negara

Diterbitkan: Sabtu, 23 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Abdul Gaffor (dua,kanan) dan Timbalan Presiden Petekma, Mohd Syahrir Abdul Aziz (kanan) sedang berbincang sesuatu dengan juru pandu limo.
Abdul Gaffor (dua,kanan) dan Timbalan Presiden Petekma, Mohd Syahrir Abdul Aziz (kanan) sedang berbincang sesuatu dengan juru pandu limo.

IMEJ Malaysia tercemar apabila laman web LondonCabs.co.uk pada tahun lepas menyatakan perkhidmatan teksi di Kuala Lumpur mempunyai reputasi pemandu teksi paling teruk di dunia.

Isu negatif itu belum lagi ditambah beban dengan kisah segelintir pemandu teksi terpaksa berhutang dengan Ah Long dan mengenakan caj perkhidmatan yang melampau, berikutan pendapatan bulanan mereka yang begitu rendah.

Bayangkan, dengan pendapatan bersih bulanan RM1,800 atau kurang daripada itu, wang saraan berkenaan digunakan untuk menyara diri dan keluarga.

Akhirnya, industri teksi di negara semakin terjejas dan pekerjaan sebagai pemandu teksi lebih dilihat sebagai kerja separuh masa, terdesak atau hanya sesuai untuk golongan pesara.

Bagaimanapun, Worldcabs Sdn Bhd di bawah jenama 1Malaysia Worldcabs yang merupakan sebuah usahasama antara Airport Limo (M) Sdn Bhd dan Koperasi Petekma (Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia) mengambil inisiatif untuk melakukan transformasi dan wajah baru dalam industri teksi di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Worldcabs, Abdul Gaffor Mohamed Mydin berkata, industri teksi tempatan memerlukan satu platform untuk diliberalisasi di samping menaikkan pendapatan pemandu.

“Airport Limo dan Petekma mempunyai kepakaran dan pengalaman masing-masing dalam sektor ini. Banyak cara yang sebenarnya boleh dikomersialkan lagi terutama dari segi kebajikan dan pendapatan pemandu teksi,” katanya dalam satu temuramah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, baru-baru ini.

Abdul Gaffor berkata, untuk melonjakkan taraf hidup jurupandu, Worldcabs bertindak sebagai pengurus dalam memudahcara matlamat itu.

“Airport Limo adalah operator perkhidmatan teksi limo di lapangan terbang manakala Petekma merupakan persatuan yang mempunyai lebih 21,000 ahli di seluruh negara, dan di Lembah Klang sahaja mempunyai kira-kira 8,000 ahli.

“Kita mahu mencipta kreativiti yang bukan sahaja mementingkan kebajikan malah memberi peluang menjana pendapatan lebih tinggi kepada pemandu teksi.

“Kita akan membawa masuk ‘pendapatan’ ke dalam teksi seperti penjualan iklan, serta barangan dan perkhidmatan yang berpotensi meraih keuntungan kepada para pemandu,” katanya lagi.

Katanya, melalui perancangan Worldcabs, pendapatan bulanan pemandu teksi bukan sahaja bergantung pada khidmat menghantar penumpang tetapi turut melibatkan aspek perniagaan lain.

“Ketika ini kita sedang bekerjasama dengan beberapa pihak daripada pelbagai bidang seperti teknologi, program kesetiaan dan ganjaran serta insurans,” katanya.

Faedah yang dirangka oleh Worldcabs bukan sahaja menumpukan pada pendapatan tetapi juga kebajikan seperti kemudahan perubatan dan pengurusan kewangan.

Antara strategi komprehensif Worldcabs adalah menyediakan Skim Peruntukan Kenderaan (Vehicle Provision Scheme) yang menjamin pembiayaan kewangan, latihan dalam hospitaliti, pengurusan tekanan, dan kebersihan serta kesihatan.

Ini termasuk cuti sakit dan kecemasan lain serta program perubatan dan kebajikan, dan akses kepada lebih 1,000 klinik dan hospital di seluruh negara bagi keperluan perubatan pemandu teksi.

Abdul Gaffor berkata, pemandu tidak memerlukan sebarang modal kerana Worldcabs akan memperuntukkan kira-kira RM15,000 untuk setiap teksi dari segi teknologi.

“Ini adalah pelaburan Worldcabs dan keuntungan semua adalah berdasarkan peluang perniagaan dan keuntungan jualan. Ini adalah situasi menang-menang,” katanya.

Setiap teksi akan disediakan kemudahan wifi untuk penggunaan Internet dan terminal paparan barangan atau perkhidmatan bagi pembelian mudah.

Teknologi itu meliputi paparan interaktif, wifi, pusat untuk memasukkan kandungan jualan dan pengiklanan serta kemudahan sistem pengesanan global (GPS).

Antara lain ialah sistem pengenalan diri pemandu dan kemudahan bantuan keselamatan untuk penumpang.

Ditanya mengenai cara pelaksanaannya, Abdul Gaffor berkata, Worldcabs yang ditubuhkan pada 19 Disember tahun lalu akan menawarkan perkhidmatannya mulai Jun ini.

“Ia akan dilengkapi dengan teknologi baru dan melibatkan sekurang-kurangnya 10 teksi di bawah pengurusan Airport Limo terlebih dahulu dan bilangannya akan bertambah secara berperingkat, yang akan menumpukan kawasan Lembah Klang yang melibatkan keanggotaan Petekma,” katanya lagi.

Beliau menambah, WorldCabs membuka penyertaan secara terbukakepada semua pemain industri di kalangan pemandu dan operator teksi.

Katanya, faedah dari segi kebajikan dan penambahbaikan pendapatan akan memberi motivasi kepada pemandu teksi untuk berkhidmat dengan lebih baik pada masa akan datang.

“Kita mahu menjadikan pemandu teksi sebagai satu karier dan bukan lagi sebagai kerja separuh masa, pilihan akhir atau sekadar ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, kita mahu ubah persepsi itu menerusi transformasi baru ini,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Gaffor akui penerimaan di kalangan pemandu teksi merupakan cabaran pada masa ini kerana ia melibatkan penggunaan teknologi baru.

“Sehubungan itu, kami akan memberi pemahaman dari segi latihan dan amali kepada mereka yang berminat sebagai satu motivasi untuk melakukan perubahan,” katanya.

Tambah beliau, para pemandu teksi bakal bergelar usahawan teksi atau ‘Taxipreneurs’ yang mampu menjana pendapatan lebih tinggi tanpa hanya bergantung pada khidmat penghantaran penumpang semata-mata.

“Konsep Worldcabs akan mencipta satu fenomena baru dalam cara pengurusan teksi di samping mempelbagaikan perniagaan menggunakan pengangkutan awam.

“Ia bertujuan untuk meliberalisasikan industri teksi dan menjadikannya sebagai platform untuk menyelesaikan isu-isu yang berkaitan pemandu dan perkhidmatan.

“Selepas ini, orang awam terutama penumpang tidak lagi melihat teksi sebagai pengangkutan awam biasa bahkan sebagai pilihan pelbagai perkhidmatan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma), Yusoff Lahir pula berkata, memang menjadi matlamat mereka untuk mengutamakan kebajikan ahli dan membantu meningkatkan pendapatan.

Berdasarkan kerjasama antara Airport Limo dan Petekma sejak 14 tahun lalu, katanya, ia dapat menyaksikan gabungan secara mantap seiring dengan dasar kerajaan untuk mentransformasikan pengangkutan awam di negara ini.

“Kita mahu melaksanakan satu tranformasi dalam industri teksi ke tahap yang lebih profesional menerusi pengalaman terbaik dan teknologi maju.

“Dalam mengendalikan industri ini, kita memerlukan satu pengurusan yang lebih besar dan mantap bagi melaksanakan transformasi itu,” katanya.

Yusoff berkata, usahasama ini dapat mempertingkatkan standard pemandu teksi di samping menjadikan pengurusan dan keahlian lebih teratur selain kebajikan dijamin.

“Jika sekarang perlu bekerja selama 12 jam sehari, untuk mendapatkan puarata pendapatan bersih sebanyak RM1,800 sebulan. Dengan adanya konsep kepelbagaian perniagaan ini, mungkin pendapatan bulanan mereka boleh digandakan sehingga RM3,500 atau lebih lagi jika ada usaha dan kemahuan,” katanya.

Mengenai kekuatan, Yusoff berkata, jika mahu mengendalikan pemandu teksi, seseorang itu perlu mempunyai pengalaman sebagai pemandu teksi.

“Ini bukan sahaja pengalaman tetapi juga perit-jerih yang kita lalui. Jadi, industri ini berpandukan kepada apa yang kita lalui dan menggabungkan pengurusan yang baik.

“Worldcabs bukan mementingkan keuntungan semata-mata tetapi adalah untuk meningkatkan pendapatan dan kebajikan ahli terutama kebanyakan aspek melibatkan kewangan seperti perubatan termasuk penyelenggaraan kereta.

“Pengurusan yang lebih baik perlu diperkenalkan secara kreatif dalam memperkukuhkan industri teksi dan menonjolkan imej negara,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa juru pandu (cab concierge) limo di KLIA memberikan pandangan masing-masing mengenai industri teksi tempatan dan konsep Worldcabs.

Salah seorang juru pandu limo, Sahran Abd Hamid, 50, berkata, konsep Worldcabs merupakan sesuatu yang wajar diberikan perhatian oleh semua pemandu dan operator teksi demi kepentingan dan kebaikan bersama.

“Ini yang ditunggu-tunggu selama ini. Satu konsep yang mementingkan kebajikan dan idea penjanaan pendapatan yang lebih baik,” katanya yang mempunyai pengalaman selama 14 tahun sebagai pemandu teksi.

Krishnan Murugan, 49, pula berkata, adalah satu kepuasan bagi seorang pemandu teksi sekiranya banyak faedah diberikan sepanjang mereka berkhidmat.

“Faedah perubatan dan pengurusan kos penyelenggaran kereta merupakan kemudahan yang mampu meringankan beban kami,” katanya.

Bagi Wong Lee Kian, 48, kebajikan dan prospek perniagaan itu sesuatu yang amat menarik dan baru.

“Saya yakin konsep Worldcabs ini mampu memberi manfaat kepada industri terutama kepada pemandu teksi sekiranya pengurusan dilaksanakan dengan cekap,” katanya lagi.

Mohd Tarmizi Daud, 48, pula berkata, pengurusan terancang untuk pemandu teksi ini akan memberi motivasi bagi mereka untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan cekap.

“Ini akan mengukuhkan lagi azam mereka untuk terus menjadikan perkhidmatan teksi sebagai satu kerjaya yang mempunyai masa depan dan membuka peluang pendapatan yang stabil,” katanya.

Menurut Mohd Bakri Said, 63, seseorang pemandu teksi yang dilatih sebagai usahawan memainkan peranan dalam menambah baik sektor pengangkutan awam.

“Inilah keistimewaan kami sebagai pemandu teksi, yang turut mempunyai peluang dalam memberikan sumbangan kepada negara,” katanya yang juga seorang pesara kerajaan.

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan