KDN & Perisikan Serantau Bekerjasama Kenal Pasti Dalang Pencerobohan di Sabah

Diterbitkan: Sabtu, 23 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLUANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bekerjasama dengan agensi perisikan serantau bagi menyiasat dan mengenal pasti dalang insiden pencerobohan kumpulan militan dari selatan Filipina di Sabah.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata dalam menyiasat insiden itu, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menjalin kerjasama rapat dengan National Intelligence Coordinating Agency (NICA) Filipina.

"National Intelligence Coordinating Agency, Filipina memang mempunyai kerjasama yang rapat dengan Cawangan Khas kita. Kita mendapatkan maklumat (perisikan) terkini berhubung kait dengan pembabitan pihak ketiga selain daripada maklumat tentang kumpulan (Jamalul) Kiram (pemimpin pengganas Sulu).

"Ia juga (maklumat perisikan) sama ada membabitkan MILF (Barisan Pembebasan Islam Moro) ke, kumpulan Nur Misuari (bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF)), kepada pihak-pihak politikus atau pengganas-pengganas tertentu," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Hishammuddin yang juga anggota Parlimen Semberong berkata demikian selepas majlis perasmian Pusat Giat Semberong di Dewan Taman Sri Lambak, di sini.

Menurut beliau, kerjasama baik di antara Kuala Lumpur dan Manila terbukti baru-baru ini apabila kapal pengawal pantai Filipina menahan 38 penceroboh di perairan Tawi-Tawi apabila mereka cuba balik ke republik tersebut.

KDN, katanya, telah mewujudkan rangkaian kerjasama yang baik dengan agensi perisikan serantau sejak daripada dahulu, bertujuan memastikan rantau ini terus kekal aman dan stabil.

Hishammuddin berkata, hubungan perisikan baik bukan sahaja terjalin di antara Malaysia dengan Filipina tetapi juga dengan Aseanapol dan secara kerjasama dua hala seperti dengan Indonesia.

Mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dalang insiden pencerobohan di Sabah, katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan perincian mengenainya Isnin ini ketika sambutan Hari Polis.

Walaupun kerajaan belum membuat sebarang keputusan tentang RCI, beliau berkata, KDN telahpun "menjalankan kerja" bagi mengenal pasti dalang insiden itu yang sehingga kini telah mengorbankan 10 anggota keselamatan dan 63 pengganas.

Sementara itu, Hishammuddin mengingatkan rakyat supaya sentiasa berwaspada terhadap tindakan pihak-pihak tertentu yang cuba mengeksploitasi insiden di Sabah itu untuk kepentingan politik mereka.

Katanya, ia termasuklah dakwaan-dakwaan yang "mengarut" untuk membangkitan kemarahan orang Suluk, seperti menuduh polis membakar kad pengenalan masyarakat berbangsa Suluk oleh bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh.

Beliau yang menafikan pihak polis ada terlibat melakukan perkara itu, meminta Harris membuktikan dakwaannya itu.

Sementara itu katanya, KDN akan membina tujuh balai polis baharu di Pulau Bum Bum, Pulau Banggi dan Pulau Gaya serta lima buah Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di bawah ESSCOM (Eastern Sabah Security Command).

Katanya KDN juga akan menambah keupayaan beberapa agensinya bagi menangani cabaran di kawasan timur Sabah termasuk Polis Marin, pasukan komando VAT69, Pasukan Gerakan Am dan Unit Tindakan Khas (UTK).-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan