Pengundi Wanita Aset Penting Tentukan Masa Depan Negara

Diterbitkan: Jumaat, 22 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengundi wanita dilihat sebagai aset penting dalam menentukan hala tuju serta masa depan negara seterusnya mampu memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Ketua Wanita MIC Datin Paduka Komala Krishna Moorthy berkata ia berikutan kira-kira 50 peratus profil pengundi dalam negara adalah wanita yang mampu menjadi ejen perubahan kepada landskap politik negara.

"Sumbangan wanita amat penting dan tidak dapat dinafikan dalam demografi BN, mereka merupakan tulang belakang, malah kekuatan dan keupayaan wanita dalam menentukan kemenangan seseorang calon sangat berkesan. "Dalam kalangan kaum India sendiri, separuh daripada pengundi adalah wanita dan kita perlu menggunakan peluang ini bagi mendekati dan mendampingi mereka dengan mengguna pakai pendekatan yang kreatif agar undi mereka terus memihak kepada kerajaan sekarang," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini.

Beliau berkata situasinya kini lebih baik berbanding PRU-12 pada 2008, dengan sokongan masyarakat India, termasuk wanita, terhadap BN semakin kukuh kerana mereka menyedari akan keikhlasan kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membantu mereka.

"Bancian sikap pengundi yang dijalankan mendapati sokongan masyarakat India terhadap BN meningkat hari demi hari, berbeza pada 2008, kerana mereka menyedari kesungguhan dan kerja keras parti gabungan tersebut untuk menambah baik taraf kehidupan mereka serta mewujudkan kesan positif dalam lingkaran kaum itu," katanya.

Katanya situasi ini membuktikan bahawa kaum India telah membina kembali keyakinan atau 'nambikei' kepada kerajaan dan yakin bahawa masa depan mereka lebih terbela dengan BN. Komala berkata sayap itu sentiasa berusaha membantu MIC yang merupakan parti politik terbesar masyarakat India di Malaysia dalam usaha untuk terus memperkukuh sokongan dan keyakinan kaum itu kepada BN.

Beliau berkata kesemua wakil cawangan Wanita MIC sentiasa bekerja keras melakukan aktiviti turun padang secara intensif dalam membantu parti sejurus selepas kekalahan pada pilihan raya lepas.

"Saya percaya Wanita MIC memainkan peranan penting dalam usaha terus mendapat sokongan dan kepercayaan daripada rakyat. Wanita MIC kini lebih kerap turun padang ke kawasan luar bandar dan juga bandar untuk bertemu dengan masyarakat dan mendengar masalah mereka dari hati ke hati.

"Kita juga akan terus turun padang dan berganding bahu bersama sayap wanita di dalam parti komponen lain di dalam BN dan bergerak sebagai satu pasukan untuk memastikan panji-panji BN terus berkibar," katanya.

Katanya pelbagai inisiatif yang dijalankan bagi memastikan kebajikan, kesihatan, ekonomi dan pendidikan masyarakat India khususnya wanita terbela mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

"Wanita MIC, dengan dana dan bantuan kerajaan telah melatih lebih 4,000 wanita kaum India agar menguasai latihan kemahiran iaitu masakan, jahitan, gubahan bunga, solekan dan aksesori wanita terutamanya kepada ibu tunggal yang tidak berpendidikan dan berpendapatan rendah, sejak 2008 hingga kini.

"Kita bukan sahaja memberi fokus kepada mempertingkat ekonomi wanita kaum India agar mereka dapat berdikari, selain itu kita juga memberi bantuan kewangan, pemeriksaan kesihatan, pendedahan kepada hak wanita dalam undang-undang dan juga pendidikan untuk anak-anak," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Wanita MIC mengharapkan bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang akan ditandingi calon wanita sayap itu, tidak kurang daripada empat pada PRU-13.

Beliau berkata pada 2008, Wanita MIC diwakili empat calon iaitu satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi DUN, dan beliau telah memajukan senarai bakal calon PRU-13 untuk pertimbangan Presiden parti Datuk Seri G. Palanivel pada April tahun lepas.

"Kita meletak sepenuh kepercayaan kepada presiden parti dan perdana menteri untuk mempertimbangkan calon yang diusulkan, namun kita terima apa juga keputusan," katanya yang juga bekas anggota Parlimen Kapar.

Sementara itu, program 'Ops Jelas' yang dijalankan Pemuda MIC untuk meraih sokongan masyarakat India terhadap BN menjelang PRU-13 mendapat sambutan menggalakkan, kata Ketua Pemudanya, T. Mohan.

Beliau berkata ini kerana kajian menerusi program itu yang dibuat ke atas seramai 100 orang India dari setiap kawasan di Lembah Klang mendapati hampir 65 peratus daripada mereka menyokong BN hasil inisiatif perdana menteri menaikkan taraf ekonomi dan sosial kaum itu sejak kebelakangan ini.

"Kami yakin program itu mampu meletakkan sokongan kaum India terhadap B Npada tahap sehingga 70 hingga 75 peratus kerana kerajaan BN di bawah pimpinan Najib telah melakukan tugas yang amat baik kepada kaum India," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program pembersihan dinding Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Mahadi di Klang, Selangor hari ini.

Program 'Ops Jelas' yang bermula Oktober tahun lepas antara lain memperjelas isu-isu semasa selain menerangkan program transformasi dan bantuan yang dilaksanakan kerajaan untuk menambah baik sosioekonomi kaum India di negara ini.

Sementara itu, Mohan yang disebut-sebut sebagai calon BN bagi kerusi DU NSeri Andalas di Klang, berkata pihaknya akan memberi tumpuan yang lebih mendapatkan undi kaum India di kawasan Parlimen Kota Raja dan kawasan Seri Andalas memandangkan terdapat ramai pengundi India di kawasan itu.

Mengulas mengenai program hari ini, Mohan berkata pihaknya akan mengadakan lebih banyak program dan kem motivasi di SMK Raja Mahadi bagi membentuk akhlak mulia dalam kalangan pelajar. -BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan