Lebih 100 Syarikat Batal Pelaburan Di Selangor Ekoran Kemelut Air - Adun

Diterbitkan: Jumaat, 22 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Lebih 100 syarikat yang menyediakan hampir 25,000 peluang pekerjaan terpaksa menarik diri daripada melabur di Selangor, menurut anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali Datuk Isa Abu Kassim.

Hal ini berlaku ekoran kemelut bekalan air yang berpunca daripada dasar tiada kerjasama kerajaan negeri dengan syarikat-syarikat konsensi air di negeri ini, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dasar kerajaan negeri yang mahu menggagalkan operasi syarikat-syarikat konsensi telah menyebabkan tiada jaminan bekalan air yang mencukupi lalu mendorong syarikat pelabur membatalkan hasrat mereka melabur di negeri ini.

"Ini satu kerugian besar kepada rakyat Selangor, dalam keadaan kita sekarang hendak meninggikan pendapatan dan meningkatkan taraf hidup, peluang pekerjaan ini hilang begitu sahaja," tambah beliau.

Isa berkata sejak pakatan pembangkang berkuasa di Selangor, agenda utamanya ialah hendak mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Puncak Niaga Holdings Berhad yang hampir 10 tahun menguruskan air di negeri ini dengan baik kerana tiada gangguan politik sebelum ini.

Kata beliau, untuk menunjukkan Syabas bermasalah, kerajaan negeri sanggup membekukan perbelanjaan modal untuk syarikat itu dengan tujuan supaya Syabas gagal menguruskan air.

"Ini cara mereka hendak halang Syabas, supaya mudah untuk mereka mengambil alih syarikat itu. Pelbagai alasan diberi kononnya Syabas ini kroni Umno tapi sebenarnya mereka hendakkan konsesi itu," kata Isa.

Beliau mempersoal bagaimana Syabas didakwa gagal, sedangkan kerajaan negeri mempunyai pegangan saham sebanyak 30 peratus dalam syarikat konsesi air ini.

"Mereka mempunyai kuasa yang besar untuk menaik atau menurunkan tarif dan memberi bantuan modal. Sebenarnya bergantung kepada kerajaan negeri," kata beliau.

Menurut Isa, kemelut air yang berlarutan ini membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak berupaya menguruskan industri air seperti yang dihasratkan mereka melalui penstrukturan semula.

Malah, beliau turut menyatakan kegagalan kerajaan negeri Selangor mengendalikan industri pasir sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri pada tahun 2008, merupakan satu lagi contoh jelas, kerajaan negeri lemah dan tidak berupaya.

"Dahulu kerajaan hanya keluarkan pasir mengikut keperluan industri, sebab itu kita tidak jadikan pasir sebagai industri kita. Tetapi kerajaan Selangor sekarang ingin jadikan pasir sebagai industri utama negeri.

"Tetapi kalau mereka ikut apa yang disasarkan, Selangor tidak akan menjadi sebuah negeri yang aman, yang bersih, kerana akan wujud lombong-lombong pasir di seluruh negeri. Ini cukup berbahaya," kata Isa.

Sehubungan itu, Adun Batang Kali itu menganggap pemimpin kerajaan negeri Selangor bukan sahaja tidak mampu menyelesaikan kemelut air, tetapi cuba menutup kelemahan pentadbiran mereka.

Beliau berpendapat tawaran terbaharu untuk mengambil alih syarikat-syarikat konsesi air Selangor hanyalah gimik politik untuk mengalih perhatian rakyat kepada isu air yang sebenar.

"Kita sekarang menghadapi masalah air terawat, bukan masalah siapa hendak mengurus air. Bekalan air terawat akan berkurangan menjelang 2014 dan seterusnya, ini masalah kita dan kita perlukan loji baharu untuk menampung air", kata beliau.

Beliau menjelaskan bahawa persoalan utama dalam isu air sekarang ialah ada antara 34 loji yang sedia ada sudah melebihi tahap operasi maksimum serta tiada sumber air lain.

"Sebab itu kita perlukan Loji Langat 2 untuk menampung permintaan air di Lembah Klang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan seluruh Selangor. Itu perkara asasnya. Bukan perkara siapa hendak jual air, atau siapa hendak jadi tauke air," jelas Isa.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan pusat telah memikirkan soal loji ini sejak 16 tahun lalu. Pusat telah menganggar 10 tahun ke hadapan, bagaimana keadaan Selangor kalau tak ada loji baharu.

"Menteri Besar hendak alih pandangan rakyat, dan rakyat hari ini menyerang dia, saman dia kerana tidak membiayai bayaran air percuma kepada semua rakyat. Jadi untuk mengalihkan isu itu, dia lontarkan satu perkara yang seolah-olah orang akan lupa, apa yang dia gagal. Seolah-olah dia ada satu rancangan baharu untuk menyelesaikan masalah. Ini cuma permainan politik."

Isa juga mempersoal jika kerajaan Selangor tidak berjaya menguruskan pasir dan pentadbiran negeri hari ini, bagaimana hendak menguruskan industri air?

"Apa guna kita ada air percuma tetapi buka paip tak ada air? Kita terpaksa pikul air naik tingkat empat, tingkat lima, apa gunanya?" kata Isa.

"Kalau kita seorang pentadbir yang baik, kita tahu di mana kepentingan yang harus dijaga. Kita akan runding dengan kerajaan pusat dan rakyat untuk mendapatkan suasana menang-menang," tambah beliau. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan