Kerjasama Pemimpin BN Pastikan Tenom Kekal Kubu Kuat Hadapi PRu-13

Diterbitkan: Jumaat, 22 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TENOM: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mengingatkan kepentingan kerjasama antara semua pemimpin Barisan Nasional (BN) di Parlimen Tenom untuk kekal sebagai kubu kuat menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Musa yang juga pengerusi BN negeri berkata berikutan itu kawasan yang kuat akan membawa kemenangan kepada rakyat dan kerajaan yang diplilih akan berusaha menunaikan janji-janji pemimpin yang mewakili kepentingan umum itu. "Apabila Tenom jadi kubu kuat, apa jua cerita wakil-wakil rakyat sama ada Kemabong, Melalap ataupun Tenom dari kalangan pemimpin BN terpaksa kita tunaikan," katanya ketika berucap melancarkan jentera pilihan raya Parlimen P.180 Tenom di Dewan Masyarakat Datuk Seri Panglima Antanom di sini, Jumaat.

Beliau berkata rakyat Sabah khususnya Tenom bijak memilih kerajaan yang membela nasib mereka berdasarkan rekod pencapaian cemerlang mentadbir negara selama berdekad lamanya.

Musa percaya rakyat Sabah turut meyakini kredibiliti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah pemimpin yang akan terus membawa pembangunan dengan memperkenalkan pelbagai dasar, projek dan program terutama Bantuan Rakyat 1Malaysia sebagai initiatif tahunan.

"Ramai orang bertanya (kenapa) Sabah dan Tenom adalah kubu kuat BN...ini kerana orang Sabah orang yang pandai dan mengenang budi...rakyat Sabah orang yang tidak sampai hati dan pandai balas budi. "Dengan itu kita semua harus bersatu kerana apabila berpecah, kita jadi lemah dan kita semua seharusnya cekal untuk menyahut apa jua cabaran mendatang," katanya sambil mengulangi keamanan di Sabah tetap dipertahankan ketika menghadapi krisis pencerobohan pengganas militan Sulu di Lahad Datu dan Semporna.

"Sabah akan aman selama-lamanya di bawah BN. Kita tidak mahu keganasan, pembunuhan, kekacauan dan rakyat tidak perlu bimbang kerana semua kawasan selamat termasuk Lahad Datu dan Semporna," katanya.

Terdahulu, Musa ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian Mini Estet Sejahtera (MESEJ) di Ulu Patian, Kemabong kira-kira 50 kilometer dari pekan Tenom berkata kerajaan akan terus berusaha memajukan tanah-tanah di negeri ini bagi membolehkan rakyat mendapat manfaat melalui program itu.

Musa yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata kerajaan negeri melalui agensi di bawahnya akan memastikan kerjasama mapan bagi membolehkan semua kemudahan asas disalur di tanah yang dimajukan bagi menjamin keselesaan peserta program.

Menurutnya selain Tenom, kerajaan akan mewujudkan enam MESEJ tahun ini menjadikan lebih 50 MESEJ di seluruh negeri.

Ketika berucap pada majlis itu, Musa berkata kerajaan membelanjakan jutaan ringgit bagi mewujudkan projek MESEJ di seluruh Sabah bagi memastikan golongan miskin tegar dapat meningkatkan taraf hidup mereka.

Katanya, rakyat perlu bijak menilai pemimpin yang benar-benar berusaha membawa pembangunan, kesejahteraan dan bekerja untuk rakyat serta menolak individu yang hanya muncul ketika pilihan raya.

Projek MESEJ di Ulu Patian berkeluasan 200 hektar itu diusahakan dengan tanaman getah melibatkan 66 peserta miskin tegar, juga merupakan yang pertama diwujudkan di Kemabong dan keempat di daerah Tenom. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan