Felda Cadang Siap Perumahan Projek Sentuhan Kasih Dalam Tempoh Lima Tahun

Diterbitkan: Jumaat, 22 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Felda berhasrat menyiapkan perumahan untuk generasi keduanya di bawah Projek Sentuhan Kasih dalam tempoh lima tahun, kata Pengerusinya, Tan Sri Isa Abdul Samad.

Katanya projek tersebut bakal meliputi kesemua 11 wilayah Felda dan usaha mengenal pasti kawasan baharu untuk pembangunan Projek Sentuhan Kasih sedang dijalankan.

"Kita cuba buat sebanyak mungkin untuk projek ini. Kita ada 11 wilayah dan kita akan buat semua. Kita bercadang membina 4,000 unit dalam masa setahun," katanya kepada wartawan selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Felda dan Malaysia Building Society Bhd (MBSB) di sini, Jumaat.

Projek Sentuhan Kasih Felda akan melibatkan pembinaan 100 unit rumah bagi setiap satu wilayah.

Setiap rumah mempunyai keluasan lantai 1,000 kaki persegi dan dianggarkan berharga RM76,000.

Untuk permulaan, sejumlah 300 unit rumah akan dibina di Felda Tenggaroh 3, Felda Chini Timur 2 dan Felda Tenang Besut.

Sementara itu, MBSB memperuntukkan RM250 juta bagi pembiayaan secara Islam di bawah produk pembiayaan kontrak dan SME ekspres tunai bagi kontraktor Felda dan kumpulan syarikat di bawahnya yang berkelayakan.

Melalui memorandum persefahaman bersama Felda pada Jumaat, MBSB menyediakan kemudahan berupa pembiayaan untuk membolehkan kontraktor membeli bahan-bahan atau barang-barang untuk melaksanakan kontrak atau pesanan pembelian yang diberikan oleh Felda.

Memorandum persefahaman itu adalah untuk tempoh lima tahun.

Nilai permohonan untuk pembiayaan kontrak ialah RM1 juta dengan kemudahan yang ditawarkan adalah dalam bentuk pelbagai perdagangan.

Bagi SME ekspres tunai, MBSB akan menyediakan garis pra diluluskan sehingga RM1 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Datuk Ahmad Zaini Othman berkata institusi kewangan tersebut akan mengenal pasti kontraktor Felda yang layak untuk kemudahan pembiayaan tersebut.

"Tempoh pinjaman bergantung kepada kontrak. Kalau kontrak bekalan mungkin setahun. Tapi kalau kontrak yang besar, kemungkinan dua hingga tiga tahun," katanya.

Setakat ini, Felda mempunyai 1,734 kontraktor berdaftar, di mana 1,581 kontraktor terdiri daripada kontraktor Bumiputera. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan