SPR Tolak Dakwaan Pihaknya Boleh Tahu Calon Yang Dipilih Pengundi

Diterbitkan: Khamis, 21 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak dakwaan pihak tertentu bahawa suruhanjaya itu boleh mengetahui calon yang dipilih pengundi pada pilihan raya umum ke-13.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata kerahsiaan undi setiap pengundi terjamin.

"Kerani SPR di pusat pengundian tidak dibenarkan dan tidak boleh mencacat, menulis nombor atau apa-apa. Ini ialah undang-undang," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada pegawai pengurus pilihan raya, ketua penguatkuasa SPR dan ketua polis daerah di Perak, di sini, Khamis.

Beliau menjelaskan apabila pengundi masuk ke tempat pengundian, kerani akan menyemak nama dan mengesahkan bahawa individu berkenaan ialah pengundi sebenar sebelum dakwat dicalit pada jari pengundi dan diberi kertas undi.

"Dalam setiap buku, ada 50 kertas undi dan ia akan diberikan mengikut turutan. Jangan pula ada pengundi yang kata dia tak nak kertas undi pertama, hendak yang tengah. Itu melanggar undang-undang dan peraturan. "Kertas undi ada nombor siri. Sebagai contoh, nombor siri 100. Apabila kita buka mana-mana helaian buku kertas undi, nombor sirinya ialah 100 kerana nombor itu unik dan digunakan untuk saluran mengundi berkenaan sahaja," katanya.

Beliau berkata langkah itu bagi memudahkan pengiraan kertas undi yang diberikan kepada pengundi dan memudahkan SPR mengesan kemungkinan pengundi menggunakan kertas undi berkenaan di saluran lain.

"Di saluran lain akan guna nombor siri lain pula, takut kalaulah ada orang mengambil kesempatan bawa kertas undi daripada saluran lain masuk dalam poket, konon nak tambah kertas undi, pergi masukkan ke dalam peti undi di saluran lain," katanya.

Oleh itu, katanya tidak ada pihak yang boleh mengetahui calon mana yang di pilih oleh pengundi.

"Orang yang datang mengundi, kita bukan tahu pukul berapa dia nak datang. Pusat pengundian dibuka satu hari daripada jam 8 pagi hingga 5 petang. Macam mana boleh buat imaginasi boleh 'match' (padankan) orang yang datang mengundi dengan benda ini (kertas undi)," katanya.

Beliau turut menasihatkan semua pihak yang terlibat dalam pilihan raya termasuk parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan supaya tidak mengajar 'ajaran sesat' kepada pengundi dengan memberi maklumat salah berhubung pengundian bertujuan menimbulkan kesulitan dan kekecohan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan