Pengambilan Pelatih PLKN Kali Ini Lebih Awal - Abdul Hadi

Diterbitkan: Khamis, 21 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Pelatih kumpulan kedua Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan memulakan latihan mereka lebih awal iaitu mulai 30 Mac ini berbanding pada bulan Mei sebelum ini.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata perubahan waktu itu bertujuan memastikan program latihan bagi pelatih lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak terjejas.

Ini kerana sebelum ini apabila program itu diadakan pada bulan Mei, latihan bagi pelatih lepasan SPM terjejas kerana mereka menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, dan terpaksa menangguh latihan mereka, katanya kepada Bernama di sini Khamis.

Beliau berkata surat tawaran dan notis pergerakan para pelatih PLKN kumpulan kedua ini telahpun dihantar kepada bakal pelatih berkenaan supaya membuat persediaan untuk berlepas ke kem latihan pada tarikh yang ditetapkan.

"Dengan mempercepatkan tarikh kemasukan mereka ke kem latihan kali ini akan membolehkan para pelatih PLKN menamatkan latihan mengikut tempoh ditetapkan sebelum melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi yang mereka pilih," katanya.

Abdul Hadi berkata para pelatih yang tidak menerima surat tawaran boleh melayari laman web PLKN atau mengirim SMS untuk menentukan status mereka.

JLKN menyasarkan 42,000 pelatih remaja akan menjalani latihan kumpulan kedua yang akan diadakan di 79 buah kem di seluruh negara, kecuali dua kem di Sandakan dan Tawau, Sabah yang ditutup sementara ekoran insiden pencerobohan pengganas bersenjata, katanya.

"Keputusan ini telahpun dimaklumkan kepada pengusaha kem yang terlibat dan mereka memahami keputusan yang diambil oleh pihak jabatan adalah untuk kepentingan pelatih PLKN dan keluarga mereka," katanya.

Beliau berkata berikutan penutupan Kem PLKN San Shui, Tawau dan Kem PLK NBagai Budi, Sandakan, seramai 142 pelatih dari Semenanjung yang ditempatkan di kedua-dua kem itu ditukar ke lima buah kem di Selangor dan Melaka.

Surat makluman mengenai pertukaran itu telahpun dihantar kepada mereka sejak minggu lepas, katanya.

Abdul Hadi berkata seramai 846 pelatih dari kawasan keselamatan khas yang ditempatkan untuk menjalani latihan di kedua-dua kem itu ditangguhkan ke kumpulan ketiga.

Semua bakal pelatih boleh menghubungi Pusat Panggilan JLKN dan Bahagian Pengurusan Pelatih di talian 03-4027 4777/ 4774/ 4664/ 4646/ 4773/ 4779/ 4776/ 4131/ 4132/ 4123 untuk sebarang maklumat. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan