Zeti: Ekonomi Tahun Ini Dijangka Terus Berada Pada Landasan Kukuh, Stabil

Diterbitkan: Rabu, 20 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka terus berada pada landasan pertumbuhan yang kukuh dan stabil pada tahun ini, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

"Prestasi ekonomi yang lebih baik ini adalah hasil daripada penyusunan semula ekonomi sepanjang sedekad yang lalu, sektor kewangan yang berdaya tahan dan potensi dasar yang fleksibel."

"Susulan penyusunan semula ekonomi, permintaan dalam negeri semakin menyerlah sebagai pemacu pertumbuhan," katanya dalam Perutusan Gabenor sempena Laporan Tahunan BNM yang dikeluarkan, Rabu.

Katanya pertumbuhan itu, pada asasnya, disokong oleh penggunaan swasta yang kukuh, dan yang terkini oleh peningkatan yang ketara dalam pelaburan swasta.

"Sumber pertumbuhan ekonomi juga telah menjadi lebih pelbagai dan seimbang dalam semua sektor ekonomi dan rakan perdagangan. Yang lebih penting ialah peranan sektor swasta yang semakin meningkat," katanya.

Menurut Zeti, prestasi ekonomi Malaysia telah disokong kukuh terutamanya oleh sektor kewangan yang berdaya tahan.

"Meski pun terdapat peningkatan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan dalam negeri berikutan perkembangan ekonomi dan sistem kewangan global, pengantaraan kewangan dalam negeri telah berfungsi tanpa gangguan," katanya.

Sistem perbankan yang kukuh dan pasaran bon domestik yang lebih maju bukan sahaja menyediakan akses pembiayaan yang berterusan kepada ekonomi, tetapi juga berperanan mengelakkan penumpuan risiko dalam sistem kewangan.

Selain itu, liberalisasi secara berperingkat-peringkat dan kehadiran lebih banyak peserta asing bukan sahaja telah meningkatkan persaingan dalam sistem kewangan, bahkan menyumbang kepada peningkatan aliran modal dua hala dan seterusnya keadaan pasaran yang teratur, katanya.

Melangkah ke hadapan, Gabenor itu berkata reformasi dan perkembangan kewangan yang berterusan akan disasarkan pada usaha mempertingkat daya tahan sektor kewangan dan memastikan sektor kewangan akan terus memberikan sokongan yang terbaik kepada ekonomi.

Selain itu, potensi dasar makroekonomi dalam negeri yang fleksibel juga memainkan peranan yang sama penting untuk menyokong ekonomi, terutamanya dalam persekitaran yang semakin kompleks dan mencabar, katanya.

"Bank sentiasa bersikap pragmatik dalam pembentukan dan pelaksanaan dasarnya, dengan bergantung pada satu set langkah yang menyeluruh demi mencapai matlamat yang dikehendaki.

"Meski pun dasar monetari kekal sebagai alat dasar yang utama, namun langkah pelengkap lain seperti dasar kehematan makro turut dilaksanakan untuk menangani risiko dalam segmen khusus sistem kewangan dan ekonomi, lantas meningkatkan keupayaan dasar dan mengelak daripada terlalu bergantung pada dasar monetari," katanya.

Zeti berkata penyelarasan dengan dasar fiskal turut mempertingkat impak dan keberkesanan dasar bagi mempengaruhi ekonomi.

Walau pun inflasi mencatat trend menurun sehingga serendah 1.3 peratus pada permulaan 2013, fokus dasar monetari pada 2013 adalah pada pengurusan risiko kenaikan harga di samping menyokong pertumbuhan ekonomi dalam negeri yang mampan, katanya.

Menurut Zeti, berasaskan penilaian tentang keadaan prospek ekonomi dalam negeri dan global, inflasi dijangka kekal sederhana.

Bank akan terus memandang ke hadapan dan mengambil perspektif jangka sederhana kerana dasar monetari amat berkesan apabila dilaksanakan sebagai langkah awalan, katanya.

Beliau berkata pertimbangan juga akan diambil untuk mengelak peningkatan ketidakseimbangan kewangan yang boleh memberikan kesan buruk kepada kestabilan makroekonomi dan kewangan dalam jangka sederhana.

Pengajaran boleh diambil dari ekonomi yang dilanda krisis akibat peningkatan yang berlebihan dalam keberhutangan isi rumah yang akhirnya memberikan kesan buruk dan berpanjangan terhadap penggunaan, ekonomi yang lebih meluas dan kestabilan kewangan, katanya.

"Meski pun penilaian telah menunjukkan keberhutangan isi rumah di Malaysia dan risiko terhadap kestabilan kewangan terus dibendung, namun beberapa langkah telah pun dilaksanakan sebagai langkah awalan untuk mengelak daripada menjadi satu masalah."

"Data terkini menunjukkan pertumbuhan kredit bagi isi rumah telah mula menjadi sederhana. Di samping itu, pertumbuhan kredit bagi isi rumah telah disokong oleh infrastruktur yang komprehensif dan lebih maju untuk menguruskan risiko," katanya.

Dari perspektif jangka sederhana, katanya cabaran utama Malaysia adalah untuk mengurus dengan jayanya peralihan negara ke arah ekonomi bernilai tambah tinggi, iaitu ekonomi yang pertumbuhannya didorong oleh sektor swasta dan dicirikan oleh produktiviti dan inovasi yang lebih tinggi, dan pada masa yang sama bersifat mampan dan inklusif.

Inisiatif pembaharuan struktur yang penting kini sedang dilaksanakan bagi mencapai transformasi itu, di samping mengambil kira keadaan dalam negeri dan persekitaran global yang lebih dinamik.

Dalam hal ini, menurutnya, dasar makroekonomi berperanan untuk memastikan kestabilan dan menyediakan insentif yang sesuai kepada sektor swasta untuk menyumbang kepada proses transformasi ekonomi negara.

Sebagai sebahagian daripada transformasi itu, beliau berkata sektor kewangan dijangka memainkan peranan penting dalam pengantaraan dana yang cekap, bukan sahaja di Malaysia malah di rantau ini dan di negara-negara sedang pesat membangun yang lain.

Ini memerlukan produk dan perkhidmatan kewangan yang baharu untuk memenuhi kehendak ekonomi dalam negeri yang lebih berintensif pengetahuan dan inovasi, selain infrastruktur kewangan yang akan menyokong pengantaraan dana serantau untuk tujuan produktif. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan