Sasaran GTP Dan ETP 2.0 Mungkin Dapat Dicapai Lebih Awal - Muhyiddin

Diterbitkan: Rabu, 20 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Program Transformasi Negara (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2.0 mungkin boleh dicapai lebih awal dari tempoh masa yang ditentukan, iaitu sebelum 2020, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata ini berikutan prestasi laporan tahunan GTP dan ETP yang memberangsangkan.

"Panel-panel antarabangsa yang melihat trend (laporan itu) yang begitu meningkat tinggi daripada apa yang kita jangkakan. Lebih-lebih lagi dari segi pendapatan per kapita kita yang ditunjukkan.

"...dan ini mungkin boleh dicapai lebih awal dari tahun 2020. Mungkin tahun 2018, jadi bermakna ini adalah sesuatu yang mungkin boleh tercapai dengan syarat kadar pertumbuhan yang kita nikmati pada hari ini berkekalan," katanya kepada pemberita selepas program pelancaran laporan tahunan GTP oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Auditorium Perdana, Angkasapuri di sini malam Selasa.

Muhyiddin berkata ia juga boleh dicapai sekiranya negara masih berada dalam keadaan yang baik dengan nilai pelaburan yang meningkat serta melalui inisiatif yang berkesan.

Mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang akan diberi setiap tahun, Muhyiddin berkata bantuan itu merupakan inisiatif paling utama kerajaan dalam memastikan rakyat mendapat manfaat.

"BR1M yang akan diberi setiap tahun mulai 2014 kalau sekiranya BN (Barisan Nasional) terus diberi kepercayaan. Kerajaan memang akan menunaikan janji, dan itu adalah janji yang telah disebutkan oleh Perdana Menteri," katanya.

Justeru itu, beliau meminta rakyat supaya menumpukan usaha dan sokongan terhadap kerajaan sedia ada bagi memastikan pertumbuhan ekonomi bertambah tinggi, selain kerajaan dapat menyediakan lagi pelbagai bentuk bantuan.

Ditanya mengenai kemungkinan kadar BR1M akan dinaikkan, beliau berkata ia terpulang kepada situasi keadaan ekonomi dan hasil pendapatan negara pada masa akan datang.

Sementara itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kejayaan negara dalam usaha membasmi kemiskinan merupakan satu kejayaan luar biasa.

"Kita dapat lihat kerajaan kini terbukti sebagai kerajaan yang menjaga kebajikan rakyat," katanya.

Beliau berkata prestasi cemerlang yang berterusan akan membolehkan rakyat bersaing di peringkat antarabangsa dalam semua bidang, sekaligus menjayakan hasrat negara sebagai negara maju menjelang 2020.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Perdana Menteri telah membentangkan 'kad laporan' yang cemerlang dengan pertumbuhan ekonomi membanggakan dalam tempoh tiga tahun ini.

"Kita mempunyai kerajaan yang cukup komited dan rakyat perlu terus memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada kerana kita sudah berada di landasan yang betul," katanya, dan menambah komuniti Cina kini juga yakin dengan agenda transformasi negara. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan