Ekonomi Malaysia Catat Prestasi Lebih Baik Pada 2012

Diterbitkan: Rabu, 20 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mencatatkan prestasi yang lebih baik daripada jangkaan pada 2012, dengan pertumbuhan tinggi 5.6 peratus, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan, yang mengurangkan kesan negatif daripada persekitaran luar yang lemah.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata daya tahan permintaan dalam negeri yang berterusan disokong sebahagian besarnya oleh asas-asas makroekonomi yang kukuh, struktur ekonomi yang lebih pelbagai dan seimbang, sistem kewangan yang lebih kukuh dan lebih maju serta dasar makroekonomi yang lebih fleksibel.

"Permintaan dalam negeri mencatatkan pertumbuhan yang kukuh 10.6 peratus tahun lalu dan menyumbang dengan nyata kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar keseluruhan," katanya dalam Laporan Tahunan 2012 di sini, Rabu.

Ini disebabkan oleh pertumbuhan yang teguh dalam jumlah pembentukan modal tetap kasar serta pertumbuhan yang lebih kukuh dalam penggunaan swasta, katanya.

BNM berkata kadar pertumbuhan pelaburan swasta kekal memberangsangkan sepanjang tahun itu, dengan aktiviti pelaburan yang menyeluruh oleh firma merentas kebanyakan sektor.

Walau pun wujudnya ketidaktentuan dalam persekitaran luar, aktiviti penggunaan terus kukuh pada tahun lepas, katanya, dengan menambah ini disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan pendapatan yang menggalakkan, persekitaran inflasi yang rendah serta keadaan pembiayaan yang menyokong aktiviti penggunaan.

Selain itu, pertumbuhan kukuh yang berterusan dalam penggunaan swasta telah mendorong kepada pelaburan yang lebih besar dalam sektor perkhidmatan berkaitan pengguna dan perkilangan.

Sementara itu, permintaan serantau yang teguh memberikan insentif yang besar bagi pelaburan dalam sektor perkhidmatan berkaitan pelancongan, seperti industri perkhidmatan penerbangan, perubatan dan pendidikan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan