Rakyat Akan Lihat Lebih Banyak Transformasi - Muhyiddin

Diterbitkan: Selasa, 19 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata rakyat akan melihat lebih banyak transformasi yang ketara dilaksanakan bagi tempoh tiga tahun akan datang berikutan kerajaan selesai menyempurnakan pembinaan komponen asas dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Beliau berkata jentera-jentera NKRA akan memperhebat interaksi bersama rakyat pada semua peringkat bermula daripada isu jenayah dan keselamatan hingga inisiatif yang lebih besar termasuk menangani kos sara hidup yang semakin meningkat, selain membuat perubahan penting terhadap proses kerajaan seperti proses pelaporan Laporan Audit Prestasi Ketua Audit Negara.

"Matlamat GTP 2.0 (2013-2015) ialah untuk memperkukuh dan memperdalam benih perubahan yang disemai sepanjang tiga tahun lepas, dan sesungguhnya saya amat teruja untuk melihat bagaimana negara kita berkembang menjadi semakin matang dan maju," katanya dalam prakata bertajuk "Terbinanya Asas Yang Kukuh Melalui GTP 1.0" Laporan Tahunan GTP 2012 yang dikeluarkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Jabatan Perdana Menteri.

Katanya tidak dinafikan pasti terdapat masalah permulaan atau 'teething issues' yang timbul bersama segala perubahan terutama perubahan pada peringkat akar umbi.

"Namun, keyakinan saya tidak pernah tergugat bahawa rakyat akan terus memberikan sokongan kepada kerajaan untuk memastikan inisiatif yang digembleng ini membuahkan kejayaan seperti yang dihasratkan," katanya.

Muhyiddin menyifatkan tahun 2012 merupakan tahun yang membanggakan bagi GTP berikutan infrastruktur dan sistem yang diwujudkan pada dua tahun pertama, mula membuahkan hasil.

Timbalan perdana menteri yang juga pengerusi Pasukan Petugas Penyampaian berkata bukan mudah untuk menambahbaik pencapaian GTP sepanjang tiga tahun lepas tetapi hampir semua perkara yang digariskan untuk dilaksanakan, dicapai.

"Antara contoh kejayaan GTP 1.0 termasuk Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pengangkutan Awam Bandar yang telah memperkenal perkhidmatan tren enam gerabak baharu bagi rangkaian KTM Komuter.

"Langkah ini mengurangkan masa menunggu tren ketika waktu puncak sekaligus mengurangkan keperitan yang kerap dialami pengguna harian tren Komuter."

Katanya NKRA Isi Rumah Berpendapatan Rendah yang bermatlamat untuk memperkasa golongan miskin dalam kalangan rakyat Malaysia dengan memberi kesedaran terhadap keperluan untuk menikmati kebebasan kewangan turut menyaksikan kejayaan menerusi usaha-usaha awal yang dilaksanakan.

"Antaranya sejumlah rakyat miskin berjaya memiliki rumah milik mereka sendiri menerusi program perumahan kos rendah, sementara sejumlah usahawan wanita berjaya membuktikan bahawa mereka mampu menentukan kedudukan kewangan masing-masing berdasarkan usaha dan ketekunan mereka sendiri," katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa segala yang dilaksanakan kerajaan selama ini ialah untuk semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang budaya.

"Kita sedang mentransformasi kerajaan dan seperti kebanyakan rakyat Malaysia yang lain, kami sedar bahawa apa yang dilakukan selama ini belum cukup lagi untuk menempatkan negara pada kedudukan antara negara terbaik dunia menjelang 2020," katanya.

Katanya bagi tempoh tiga tahun lepas, rakyat mendengar kerajaan menyatakan GTP masih berada dalam peringkat pembangunan iaitu untuk membina batu asas bagi memastikan sebuah wadah yang dapat menyokong inovasi yang ingin dilaksanakan.

"Meskipun sebahagian besar usaha bersifat asas dan sebahagian besar perubahan pula berlaku di sebalik tabir, namun tugas yang cemerlang telah dilaksanakan dalam memastikan bahawa keputusan yang diperoleh adalah telus kepada rakyat," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan