Pengundi Wanita Sandaran Kemenangan BN Di Terengganu - Berita Semasa | mStar

Pengundi Wanita Sandaran Kemenangan BN Di Terengganu

Diterbitkan: Ahad, 17 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Pengundi wanita di Terengganu yang seramai 52 peratus dilihat akan menjadi sandaran kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 kali ini.

Oleh itu usaha dilakukan untuk menggerakkan mereka dengan lebih giat semasa pilihan raya nanti termasuk berperanan sebagai perayu undi.

"Kita telah melakukan pelbagai strategi untuk memastikan kemenangan menjadi milik BN termasuk meramaikan peraih undi wanita, memperbanyakkan program wanita dan jentera wanita, memandangkan jumlah pengundi wanita negeri ini lebih ramai.

"Justeru jentera wanita BN akan kita kerahkan sebagai perayu undi untuk memastikan semua pengundi wanita turun untuk mengundi," kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said kepada pemberita selepas majlis pelancaran 1Million Women Purple Walk di Dataran Shahbandar di sini, Ahad.

Mengenai peluang BN untuk mengekalkan pemerintahan, beliau yang juga Pengerusi BN Negeri berkata, iklim perubahan rakyat untuk menyokong kerajaan adalah lebih baik berbanding pilihan raya sebelum ini.

"Ini dapat dilihat dengan usaha murni kerajaan untuk memajukan dan menjaga kebajikan rakyat melalui program serta pelbagai bantuan yang telahpun disalurkan kepada rakyat," katanya.

Ahmad berkata pada pilihan raya umum 2008, hampir 84 peratus rakyat Terengganu keluar mengundi dan kali ini 85 peratus dijangka keluar mengundi.

Mengenai senarai calon, beliau berkata, ia telah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan