Tiada Arahan Keluar IC Kepada Pendatang Asing Yang Tidak Layak - Dr Mahathir - Berita Semasa | mStar

Tiada Arahan Keluar IC Kepada Pendatang Asing Yang Tidak Layak - Dr Mahathir

Diterbitkan: Sabtu, 16 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PAPAR: Kerajaan tidak pernah mengeluarkan arahan kepada mana-mana pihak untuk memberikan kad pengenalan (IC) atau kewarganegaraan kepada pendatang asing yang tidak layak di Sabah, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed.

Justeru, beliau menegaskan rakyat Sabah tidak boleh mempersalahkan kerajaan semasa pentadbirannya kerana penyelewengan seumpama itu dilakukan oleh pihak tertentu untuk kepentingan diri.

"Saya sedar isu (Projek IC) ini jadi perhatian rakyat Sabah. Saya ada diberitahu ada yang tak layak...baru sampai hari ini, dah dapat IC.

"Ini bukan arahan kita, bukan arahan kerajaan...ini adalah penyelewengan pegawai di tempat itu kerana kepentingan lain," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama sempena program 'Bicara Minda bersama Tun Dr Mahathir Mohamad' di Dewan Masyarakat Papar, dekat, sini Sabtu.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas trend kempen pembangkang yang kini lantang memainkan isu 'Projek IC' bagi meraih sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

Beliau memperjelaskan bahawa ramai orang yang bukan berasal dari negara ini diberi hak kerakyatan kerana mereka telah tinggal lama di negara ini serta menguasai bahasa kebangsaan.

"Ramai daripada kita berasal dari negara lain, misalnya dari China, Arab dan India dan kesemua mereka duduk lama di sini dan setia kepada negara ini. Kita beri kerakyatan kalau mereka menepati syarat selepas proses ujian," katanya.

Dalam perkembangan lain, ditanya sama ada kerajaan mampu meningkatkan royaliti minyak daripada lima peratus sekarang kepada Sabah, Dr Mahathir, 87, berkata amalan kerajaan kini lebih menjurus kepada perkongsian kekayaan untuk semua rakyat di negara ini.

Sebelum ini, pakatan pembangkang dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 menjanjikan 20 peratus kadar royalti minyak kepada rakyat Sabah.

"Kalau mereka (pembangkang) nak bagi (lebih tinggi)...bagilah 100 peratus kepada Sabah," katanya yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun sejak 1981 sebelum berundur pada 2003.

Mengenai penubuhan kawasan keselamatan khas, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di Sabah ekoran kes pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Dr Mahathir berkata langkah itu wajar dan tepat pada masanya memandang kini terdapat ancaman keselamatan yang ketara di perairan negara.

Beliau menyifatkan tindakan pengganas Sulu menceroboh dan membunuh sembilan anggota pasukan keselamatan di Lahad Datu dan Semporna, Sabah pada awal bulan ini, sebagai tidak bijak. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan