Misi 'Trek For A Cause' Berlepas Ke Pergunungan Annapurna Nepal

Diterbitkan: Sabtu, 16 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

The MY sebelum berangkat ke Nepal bagi meneruskan misi Trek For a Cause, Khamis lalu.
The MY sebelum berangkat ke Nepal bagi meneruskan misi Trek For a Cause, Khamis lalu.

SEPANG: Dua belas orang pendaki amatur Malaysia pada Khamis telah berangkat ke Kathmandu Nepal dalam misi menawan Laluan Thorung atau Thorung Pass di Pergunungan Annapurna, setinggi 5,416 meter.

Tetapi misi mereka ini bukan sekadar satu aktiviti riadah biasa.

Pasukan yang menamakan diri mereka sebagai The Monyets and Yaks atau The MY meletakkan misi untuk menawan salah satu laluan tertinggi di dunia itu dengan objektif tersendiri iaitu bagi mengumpul dana untuk kanak-kanak yang tidak bernasib.

Mereka menamakan misi mereka ini sebagai 'Trek For A Cause'.

Misi ini dilancarkan dengan kerjasama Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia.

Misi Trek For A Cause ini berhasrat mengumpul dana sebanyak RM100,000.

Dan mereka menegaskan, kos pendakian dan misi mereka ini ditanggung sepenuhnya oleh diri mereka sendiri.

Hasil kutipan dana dari projek ini akan disalurkan sepenuhnya bagi tujuan membantu meningkatkan taraf kehidupan kanak-kanak yang tidak bernasib baik termasuk anak Orang Asli.

Sehingga kini program Trek For A Cause telah berjaya mengumpul sebanyak RM75,000 dari pelbagai pihak yang amat memahami tujuan misi ini dilaksanakan.

Salah seorang peserta projek, Azree Anis Zubedy, 42, berkata, misi ini amat penting bagi memastikan objektif sebenar mereka tercapai.

"Mungkin sebelum ini banyak program amal dilakukan, tetapi dalam pelbagai bentuk.

"Tetapi program kali ini dibuat bagi mengutip dana dan sekaligus disalurkan kepada tiga bahagian berlainan yang melibatkan pendidikan kanak-kanak kurang bernasib baik.

"Ia hanya fokus kepada satu tujuan sahaja iaitu pendidikan kanak-kanak yang tidak bernasib baik dan bagi saya ia adalah amat penting," jelasnya kepada mStar Online ketika ditemui di LCCT, Sepang pada Khamis.

Azree yang mengendalikan syarikat perundingan pemasaran kepada individu atau organisasi berkata, pengalaman ini amat bermakna baginya kerana inilah buat pertama kali dia ke Nepal bersama pasukan The MY sejak mula aktif dalam aktiviti lasak ini dua tahun lalu.

"Sebelum ini saya pernah mendaki di Fuji dan Gunung Kinabalu dengan pasukan lain.

"Kali ini saya dapat rasakan perasaan agak lain sedikit kerana kali ini kami mendaki dengan satu misi penting," jelas Azree.

Menurut Azree, sebelum berangkat ke Nepal, dia telah menjalani persiapan bagi memastikan segalanya berjalan lancar.

"Biasanya saya akan melakukan latihan di Bukit Gasing, Petaling Jaya. Ia sekurangnya-surangnya mampu mengekalkan tahap kecergasan yang mana kita tahu ia penting bagi aktiviti seperti ini," tambahnnya.

Turut menyertai program kali ini termasuk salah seorang peserta dari Pulau Pinang, Casey Ngo Saik Peng, 35 tahun.

Casey yang baru setahun mula aktif dalam aktiviti 'outdoor' ini amat teruja untuk menyertai "Trek For A Cause" kerana ia pengalaman pertama kali menawan laluan yang dianggap mencabar ini.

"Tetapi pada masa yang sama, saya sedar tujuan untuk ke Nepal dan saya yakin program ini mampu menarik minat orang ramai bagi membantu pendidikan kanak-kanak yang tidak bernasib baik.

"Mungkin banyak cara lain untuk membantu mereka, tetapi saya gembira kerana kami memilih dengan cara ini," jelasnya yang telah menjalani latihan di Penang Hill sebelum ke Nepal.

Seorang lagi peserta, Fong Chuen Fat yang mula menyertai pasukan ini pada tahun 2010 berkata, misi ini amat penting bagi memastikan masa depan kanak-kanak tidak bernasib baik diberi perhatian.

Chuen Fat yang bertugas sebagai Perunding Alam Sekitar turut memuji orang ramai yang sedar tentang kepentingan program ini.

"Dengan sokongan orang ramai yang turut menghulur bantuan, ia sekurang-kurang membuatkan kami lebih bersemangat bagi mencapai objektif program ini.

"Saya semenangnya menyukai aktiviti outdoor ini dan ia dianggap masa yang tepat untuk sama-sama membantu," jelas gadis kelahiran Kuala Lumpur ini.

Mengimbas kembali aktiviti mendakinya sebelum ini, Chuen Fat berkata, pengalaman yang tidak boleh dilupakan ialah ketika berda di Himalaya pada tahun 2011.

"Dengan cuaca dan pemandangan indah yang pernah saya lalui sepanjang hidup saya. Ia sukar digambarkan kerana panoramanya sangat cantik," jelasnya teruja.

Selain itu, Sathyabama isteri kepada ketua pasukan merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Perunding ERE, Dr G.Balamurugan turut menyertai program kali ini.

Sathyabama merupakan 'orang lama' dalam pasukan ini dan menganggap misi kali ini berbeza dengan program yang disertai tahun-tahun sebelumnya.

"Setiap program yang kami anjurkan mempunyai misi tersendiri dan peserta-peserta yang mengikuti kami adalah orang yang berlainan.

"Kami melakukan kerja-kerja amal tanpa paksaan dan saya gembira kerana program ini mendapat sambutan positif.

"Trek For A Cause ini adalah satu misi yang dianggap berlainan kerana kami bekerjasama dengan Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia.

"Sumbangan yang kami terima daripada orang ramai ini disalurkan terus kepada yayasan tersebut.

"Kami gembira dengan sumbangan setakat ini walaupun sasaran belum mencapai jumlah yang disasarkan," jelas Sathya.

Jelas ibu kepada dua anak ini, bersesuaian dengan minatnya dalam aktiviti outdoor ini, program ini diharapkan berjalan lancar.

"Kami akan berada di Nepal selama 17 hari dan berharap semuanya berjalan seperti yang dijadualkan.

"Setakat ini semua peserta berada dalam keadaan baik dan segala persiapan telah dibuat mengikut keperluan masing-masing.

"Malah saya sendiri juga turut menajalani persipaan fizikal dengan persiapan di Bukit Gasing, berenang, berjalan dan juga latihan gimnasium," tambahnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan