Beri Lebih Peluang Kepada Generasi Dalam Pembangunan Seni Bela Diri - TPM

Diterbitkan: Sabtu, 16 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGETOWN: Golongan generasi Y harus diberi lebih peluang agar mereka tidak ketinggalan dalam membangunkan seni mempertahankan diri, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata ini penting supaya generasi muda terus berdaya saing dan mempunyai jati diri yang kuat bagi memimpin negara pada masa akan datang kerana asasnya telah dibina dengan pembangunan sahsiah serta jati diri.

"Sebahagian besar ahli seni mempertahankan diri terdiri daripada anak-anak muda, justeru idea Majlis Pendekar Malaysia (MPM) menubuhkan satu sayap baharu adalah amat bertepatan," katanya pada majlis malam pendekar dan pelancaran satria muda Pulau Pinang, Ahad.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Koh Tsu Koon dan Presiden MPM Tan Sri Omar Din Mauju.

Muhyiddin berkata penubuhan satria muda amat bertepatan bagi menarik minat generasi muda dalam seni mempertahankan diri.

Beliau berkata MPM merupakan satu payung yang menyatukan semua pengamal dan pencinta seni mempertahankan diri supaya dapat bernaung di bawah satu bumbung, dan ini mencerminkan konsep 1Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Walaupun daripada pelbagai aliran, displin dan persatuan, namun atas semangat 1Malaysia kita bersatu. Ini dinamakan kepelbagaian dalam penyatuan," katanya.

Beliau berkata rakyat perlu bersatu di bawah misi serta visi yang sama, dan ini juga merupakan harapan negara serta kerajaan untuk melihat rakyatnya bersatu padu dalam apa jua perkara demi menjamin kesejahteraan dan keamanan negara berterusan.

"Saya yakin melalui MPM, penyatuan dan persefahaman ahli-ahli bela diri akan menunjukkan nilai-nilai murni yang disemai menerusi seni bela diri dan mampu menjadi benteng pertahanan negara," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan