Lahad Datu: Kumpulan NGO Desak Segerakan RCI

Diterbitkan: Jumaat, 15 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Orang ramai mengaminkan bacaan doa yang dibacakan oleh Presiden Jati Datuk Dr Hasan Mohd Ali untuk kesejahteraan rakyat dan menyelamatkan negara daripada ancaman musuh ketika perhimpunan aman di perkarangan Masjid Negara selepas solat Jumaat. Beberapa NGO turut mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lepas.
Orang ramai mengaminkan bacaan doa yang dibacakan oleh Presiden Jati Datuk Dr Hasan Mohd Ali untuk kesejahteraan rakyat dan menyelamatkan negara daripada ancaman musuh ketika perhimpunan aman di perkarangan Masjid Negara selepas solat Jumaat. Beberapa NGO turut mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lepas.

KUALA LUMPUR: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Jumaat mendesak supaya menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kemungkinan ada pihak yang menjadi dalang di sebalik insiden pencerobohan di Lahad Datu.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, apabila RCI dibentuk, komposisinya perlu melibatkan semua pihak yang terdiri daripada golongan yang mempunyai integriti termasuk wakil daripada parti pembangkang, profesional dan pihak keselamatan.

"Dan penyiasatan yang dibuat oleh suruhanjaya ini mestilah dibuat secara terbuka seperti inkues di mahkamah kerana kita tidak mahu politikkan isu ini.

"Kita hanya hendak mencari kebenaran. Kalau ada dakwaan (mengenai) golongan ini, golongan itu terlibat, itu dakwaan. Bagi pandangan kita, yang penting adalah mendapatkan kebenaran berasaskan fakta dan maklumat yang boleh diterima oleh semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Himpunan Gerakan Rakyat Pengkhianat Menolak Pengkhianat di hadapan Masjid Negara di Kuala Lumpur di sini, Jumaat.

Turut hadir Mursyidul Am Gerakan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai) Zahid Md Arip, Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Ali dan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, selepas penubuhan RCI, kerajaan boleh menyusulinya dengan kertas putih untuk memperincikan lagi dari segi hal-hal yang berkaitan dengan teknikal.

Ini kerana katanya, timbul persoalan apabila segelintir pihak bahawa kumpulan Sulu menceroboh Lahad Datu tetapi kerajaan mengambil masa tiga minggu untuk bertindak.

"Ada pihak mengatakan kononnya kerajaan lemah lambat bertindak. Jika kerajaan bertindak cepat, berlaku sesuatu yang tidak diingini, ada pihak antarabangsa atau pihak lain yang mengambil kesempatan akan menuduh kita zalim.

"Kita kena lihat senario secara fakta, maka sebab itu susulan kertas putih adalah penting bagi rakyat memahami," katanya.

Beliau menambah, timbul pelbagai persepsi mengenai insiden Lahad Datu maka ia perlu dijawab oleh pihak keselamatan dan mana-mana pihak supaya isu berkenaan tidak sepatutnya dipolitikkan atau disensasikan.

"Terserah kepada pihak yang dicadangkan (dalam RCI) untuk menentukannya. Cuma kita mesti melakukan penerangan dan kesedaran untuk rakyat seluruh negara mengenai betapa pentingnya kita dengan pihak keselamatan dan kerajaan menjaga kedaulatan negara, serta menyeru rakyat untuk bersatu," katanya.

Sementara itu, Hasan berkata, mengenai dakwaan dalang di sebalik insiden Lahad Datu, terdapat plot-plot individu yang mempunyai kaitan dengan ketua pemberontak Filipina, Nur Misuari.

"Tetapi ia hanya sekadar plot-plot macam itu sahaja maka tiada yang konklusif. Tetapi yang tiada konklusif itu timbulkan persoalan maka kita perlu mendesak Suruhanjaya adakan kertas putih untuk menghilangkan sebarang keraguan yang pastinya akan timbul.

"Jika di luar daripada Suruhanjaya dan kertas putih, saya yakin pelbagai tohmahan dan tuduhan akan terus berlaku dan menimbulkan masalah," katanya sambil menambah bahawa gerakan yang menolak pengkhianat negara itu melibatkan lebih kurang 30 NGO dari seluruh negara.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan