Insiden Lahad Datu Tidak Jejas Ekonomi Negara - Ahmad Husni

Diterbitkan: Jumaat, 15 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Program Transformasi Ekonomi yang dilaksanakan kerajaan berjalan lancar meskipun negara sedang berdepan insiden pencerobohan kumpulan pengganas dari selatan Filipina di Lahad Datu, Sabah, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, insiden tersebut merupakan kes terpencil dan tidak menjejaskan perancangan pembangunan ekonomi negara.

"Pada kemuncak insiden (2 dan 3 Mac) itu berlaku, penduduk di kawasan terbabit meminta pihak bank meneruskan operasi bagi memudahkan mereka menjalani urusan harian termasuk perniagaan," katanya selepas mengadakan lawatan ke Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini, Jumaat.

"Saya percaya peniaga di kawasan terlibat berterima kasih kepada pasukan keselamatan kerana perniagaan mereka tidak terjejas ekoran kawalan keselamatan yang dilaksanakan pasukan itu," katanya.

Beliau juga berharap isu pencerobohan itu akan dapat diselesaikan segera dan tidak merebak ke kawasan lain.

Menurutnya, kerajaan turut menyediakan peruntukan khusus bagi membantu keluarga anggota yang terbunuh dalam insiden itu.

Mengenai lawatan ke Dewan Bandaraya Ipoh (DBI), Ahmad Husni berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) itu merekodkan permohonan projek pembangunan kedua tertinggi iaitu 4,400 permohonan, selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

"Sebelum ini, Pulau Pinang negeri kedua tertinggi menerima permohonan tetapi kini Ipoh telah mengambil alih dan ini menunjukkan Ipoh berpotensi untuk menjadi bandar lebih maju pada masa akan datang," katanya.

Katanya lawatan itu selaras dengan konsep yang digalakan Ketua Setiausaha Negara dalam mengeratkan hubungan antara kerajaan persekutuan dengan PBT.

"Kita dapati DBI telah melalui banyak perubahan...ini juga dapat dilihat dengan projek Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak yang dapat disiapkan dalam tempoh hanya enam minggu dan ini membuktikan kapasiti dan kemampuan DBI membangunkan Ipoh," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan