Tiga Lagi Sekolah Dalam Hospital Dibuka April Dan Julai Ini - Norainee

Diterbitkan: Rabu, 13 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Projek Sekolah Dalam Hospital (SDH) akan dilaksanakan di tiga buah hospital lagi pada April dan Julai tahun ini agar pesakit tidak terpinggir daripada mendapat akses kepada pendidikan.

Isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman berkata tiga hospital itu ialah Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar, Hospital Umum Sarawak di Kuching dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas di Sabah.

SDH kini dilaksanakan di tujuh hospital iaitu Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Sultanah Aminah, di Johor Baharu, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh, Pahang dan Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian.

"SDH di Muar sedang dalam proses renovasi dan dijangka mula beroperasi April ini manakala di Sabah dan Sarawak pula akan mula dibuka pada Julai tahun ini," kata Norainee, yang juga penaung Projek Hati Nurani, kepada pemberita selepas melawat SDH PPUKM di sini Rabu.

Beliau berkata dalam tempoh Julai 2011 hingga Februari 2012 pelaksanaanya, ketujuh-tujuh SDH itu mencatat sejumlah 16,839 kehadiran pesakit merangkumi kanak-kanak pra sekolah sehingga menengah.

Norainee berkata pihaknya menerima banyak permintaan daripada hospital kerajaan supaya sekolah berkenaan ditubuhkan namun kekangan ruang membuatkan cadangan pembinaan SDH tidak dapat diteruskan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan