Salur Maklumat Lengkap Jika Berlaku Kenaikan Harga Barang - Ismail Sabri

Diterbitkan: Rabu, 13 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BERA: Orang ramai diminta memberikan maklumat lengkap dan tepat semasa membuat aduan berhubung kenaikan harga barangan di kawasan mereka.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tanpa aduan yang lengkap seperti maklumat berkenaan alamat atau nama kedai, akan menyukarkan tindakan dilakukan. "Jika terbukti peniaga terbabit menaikkan harga barang, maka tindakan tegas boleh diambil ke atasnya mengikut Akta Anti Pencatutan 2011," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program kementerian itu bersama masyarakat di Taman Jaya Kemayan, di sini malam Selasa.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar bahawa terdapat peniaga di Lahad Datu, Sabah yang menjual mi segera pada harga RM6 sebungkus berikutan insiden pencerobohan pengganas Sulu di kawasan berkenaan.

Katanya laporan tidak tepat itu bukan sahaja boleh mendatangkan suasana kurang senang dalam kalangan orang ramai tetapi juga menjejaskan peniaga.

Ismail Sabri yang juga Anggota Parlimen Bera turut menegaskan hasil pemantauan di kawasan terjejas menunjukkan tidak ada kenaikan harga atau kekurangan bekalan barangan di Lahad Datu setakat ini.

Beliau berharap semua pihak termasuk pihak media supaya tidak membuat laporan berdasarkan khabar angin kerana perbuatan itu boleh menyebabkan pembelian panik.

Katanya kementerian itu akan meningkatkan pemantauan serta pemeriksaan ke atas peniaga di Lahad Datu, Semporna, Kunak dan kawasan sekitarnya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan