Lahad Datu: Prebet Hurairah Patut Bertunang Bulan Lalu

Diterbitkan: Rabu, 13 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

 Ibu Prebet Mohd Hurairah, Rahmah bersama-sama anaknya memegang gambar Mohd Hurairah di rumah mereka di Kampung Bayu Lalang, Pasir Mas, Kelantan.
Ibu Prebet Mohd Hurairah, Rahmah bersama-sama anaknya memegang gambar Mohd Hurairah di rumah mereka di Kampung Bayu Lalang, Pasir Mas, Kelantan.

PASIR MAS: Prebet Ahmad Hurairah Ismail yang terkorban sepatutnya melangsungkan pertunangannya dengan kekasihnya dari Kuala Krai bulan lalu namun majlis tersebut terpaksa ditangguhkan apabila dia dihantar menyertai misi Ops Daulat di Sabah.

Kini majlis tersebut tidak mungkin berlangsung kerana Ahmad Hurairah,24, terbunuh dalam operasi ketenteraan di Lahad Datu.

Ibunya pengsan sebaik sahaja menerima berita pemergiannya anaknya itu pada Isnin.

Rahmah Mamat,50, yang masih sedih dan terkilan kerana sudah lama tidak menemui anak kesayangannya itu ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Bayu Lallang, Meranti, di sini.

"Kali terakhir saya berjumpa dengannya pada Hari Raya dua tahun lalu. Saya menerima pesanan khidmat ringkas terakhir daripadanya pada 10 Mac yang meminta kami mendoakan keselamatanya.

"Saya sangat sedih kerana sudah terlalu lama tidak bertemu dengan dia, kini saya tidak akan dapat berjumpa dengan dia lagi," kata Rahmah sambil menangis teresak-esak.

Rahmah juga tidak tahu bagaimana anaknya terbunuh sebaliknya dia berkata: "Apa yang saya tahu dia terkorban kerana mempertahankan negara."

Sementara itu, ayah kepada Prebet Ahmad Hurairah, Ismail Hussin, 60, berkata dia juga tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku kepada anaknya.

"Semua yang saya tahu dia terbunuh ketika bertugas. Jenazahnya akan dibawa pulang pada esok (hari ini) dan saya menerima kematiannya dengan reda. Dia gugur kerana berjuang untuk negara," katanya yang juga seorang petani.

Beliau terbunuh di Sungai Nyamuk, Tanduo, Lahad Datu ketika operasi pembersihan dijalankan di kawasan berkenaan pada 10 pagi Isnin.

Beliau berkata Ahmad Hurairah merupakan seorang yang ceria dan berkhidmat dengan Batalion 7 Regimen Askar Diraja Melayu di Tawau sejak empat tahun lalu.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamad yang melawat keluarga mangsa turut menyampaikan ucapan takziah serta sumbangan peribadi bagi membantu upacara pengebumian.

Mustapa berkata pengorbanan Ahmad Hurairah yang gugur ketika mempertahankan negara akan tetap dikenang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan