UPM Mahu Dekatkan Diri Dengan Masyarakat Melalui Perkongsian Kepakaran & Inovasi

Diterbitkan: Selasa, 12 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Dr Samsilah (dua, kiri) bersama Dr Zulkifli (dua, kanan) bersama sijil-sijil anugerah yang diterima hasil rekaan jubin berdasarkan tumbuhan tropika Malaysia. -foto THE STAR/Izra Rahman
Dr Samsilah (dua, kiri) bersama Dr Zulkifli (dua, kanan) bersama sijil-sijil anugerah yang diterima hasil rekaan jubin berdasarkan tumbuhan tropika Malaysia. -foto THE STAR/Izra Rahman

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) mahu mendekatkan diri dengan masyarakat dengan berkongsi hasil inovasi dan kepakarannya.

Pengarah Taman Sains Putra (PSP) UPM, Dr Samsilah Roslan berkata, ini kerana hasil kajian dan penyelidikan yang dijalankan universiti ini kebanyakannya dilihat mampu membantu dan memberi sumbangan kepada komuniti.

"Kita ada kepakaran, ada sistem, ada pengetahuan dan ada falsafah yang kuat yang kita gunakan dalam setiap kajian dan penyelidikan.

"Kita harap inovasi dan pengetahuan ini dapat dikongsi dengan komuniti di luar sana dan menjadi satu perkara yang boleh dinikmati semua," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media memperkenalkan inovasi baharu penyelidik UPM, Dr Zulkifli Muslim mereka bentuk jubin, perabot, bangunan dan hiasan dalaman berkonsep tumbuhan tropika dekat sini, Selasa.

Dr Samsilah mengambil contoh terdekat rekaan Dr Zulkifli yang juga pensyarah UPM yang disifatkan mampu mencetuskan transformasi konsep untuk sesebuah organisasi, misalnya.

"Berbanding mendapatkan rundingan dan khidmat nasihat yang mahal dari luar negara, mereka boleh mendapatkan bantuan yang serupa daripada kita.

"Tidak kira sama ada dari segi rekaan atau konsep secara keseluruhan, kita bersedia berkongsinya dengan masyarakat," katanya.

Beliau menambah, UPM mempunyai banyak penemuan baru dan melakukan banyak transformasi melalui kajian dan penyelidikan termasuklah rekaan jubin yang mendapat pengiktirafan antarabangsa dan tempatan baru-baru ini.

Di peringkat antarabangsa, rekaan ini memenangi 'The Best Award' daripada 'Japan Intelectual Property Association' di 'International Design Expo & Awards 2013' dan pingat emas dalam pertandingan sama.

Di peringkat tempatan, rekaan ini telah mendapat pingat emas, perak dan gangsa untuk penciptaan penyelidikan dan inovasi di pameran Pertandingan Reka Cipta Penyelidikan dan Inovasi (PRPI) 2012 dan beberapa anugerah lain.

Dr Samsilah berkata, orang ramai yang ingin berkongsi inovasi atau mendapatkan maklumat berhubung hasil kajian dan penyelidikan UPM boleh menghubungi sendiri PSP.

PSP merupakan suatu penjenamaan semula identiti persekitaran UPM bagi meningkatkan penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan serta perkhidmatan perundingan kepada pelanggannya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan