SPR Yakin PRU Serentak Termasuk Lahad Datu

Diterbitkan: Selasa, 12 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yakin pilihan raya umum ke-13 akan diadakan serentak di seluruh negara termasuk di kawasan pencerobohan pengganas di Lahad Datu.

Ini kerana katanya keadaan di kawasan itu, khususnya Kampung Tanduo, bertambah baik dan beliau yakin situasi di situ dan kawasan sekitar akan kembali tenang dalam masa terdekat.

"Saya tidak akan membuat spekulasi mengenai keadaan di Lahad Datu khususnya di Tanduo dan sekitarnya, namun saya cukup yakin dengan usaha pasukan keselamatan, keadaan di situ kembali aman," katanya pada sidang media selepas merasmikan taklimat susulan pegawai pengurus, penolong pengurus dan pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya bagi pilihan raya umum ke-13, di sini, Selasa.

Menurut Abdul Aziz terdapat dua pusat mengundi iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Labian dan SK Tunku di kawasan Zon Merah yang diisytiharkan susulan insiden pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo pada 12 Februari lepas.

Zon Merah terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tunku yang kini diwakili Barisan Nasional (BN) menerusi Datuk Mohd Suhaili Said. DUN Tunku pula terletak dalam kawasan Parlimen Silam bersama-sama DUN Lahad Datu dan Kunak.

Beliau juga mengesahkan Daftar Pemilih sehingga 31 Disember lepas yang diwartakan pada 22 Februari lalu akan terpakai jika Parlimen dibubar hujung bulan ini.

Bagaimanapun proses pembersihan Daftar Pemilih itu masih diteruskan sehingga Parlimen dibubar, katanya.

Menurut Abdul Aziz, Sabah kini mempunyai 982,644 pengundi berdaftar yang layak mengundi pada pilihan raya umum akan datang selain 24,497 pengundi berdaftar bagi kawasan Parlimen Labuan.

Beliau berkata SPR akan menempatkan 17,615 petugas di Sabah bagi menguruskan proses pilihan raya di negeri itu yang dijangka menelan belanja RM50 juta, meliputi 25 kerusi parlimen di Sabah dan satu di Labuan serta 60 kerusi DUN.

Mengenai pengangkutan udara dan air khususnya di kawasan luar bandar Sabah, Abdul Aziz berkata perkhidmatan helikopter akan diguna di 86 pusat mengundi, manakala bot pula di 55 pusat mengundi.

Mengenai pasukan penguat kuasa, beliau berkata lima kawasan parlimen iaitu Sepanggar, Kota Kinabalu, Batu Sapi, Sandakan dan Tawau akan dipantau dua pasukan, manakala di kawasan lain satu pasukan.

Bilangan pengundi pos berdaftar luar negara untuk Sabah ialah 65 orang setakat ini, termasuk 20 di Kota Kinabalu, sembilan masing-masing di Penampang dan Putatan serta lapan di Tawau.

Abdul Aziz turut mengingatkan parti politik yang akan bertanding agar berkempen secara berhemah dan bertanggungjawab tanpa membangkitkan isu sensitif terutama berkaitan insiden pencerobohan di Lahad Datu.

"Saya yakin 'orang-orang Sabah' ini baik-baik belaka, tidak ada yang suka memburuk-burukkan orang lain, dan saya fikir, kalau semua pihak betul-betul berkempen (dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan) dan bertanggungjawab, pilihan raya kita akan berjalan dengan baik dan tiada masalah," katanya.

"Pihak polis kita akan mengawal keadaan di semua kawasan sepanjang tempoh kempen pilihan raya, dan dalam keadaan tertentu, jika perlu, kita boleh juga meminta bantuan dari pihak tentera," katanya.

Beliau turut menasihati pengundi di Sabah terutama di Lahad Datu agar menunaikan tanggungjawab mereka apabila pilihan raya diadakan.

"Jangan takut dan jangan dengar khabar angin. Keluarlah beramai-ramai bagi menunaikan tanggungjawab anda sebagai pengundi," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Aziz meminta para petugas, terutama pengurus dan penolong pengurus pilihan raya supaya menjalankan tugas mereka dengan adil tanpa rasa takut atau berat sebelah. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan