Malaysia Gesa PBB Beri Fokus Tangani Isu Keganasan Terhadap Wanita

Diterbitkan: Selasa, 12 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa negara anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) supaya memberi perhatian khusus kepada isu keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan serta tidak dipesongkan oleh perkara yang bukan menjadi tumpuan sejagat.

Wakil tetap Malaysia ke PBB Datuk Hussein Haniff berkata walaupun pelbagai usaha telah dilakukan berhubung isu itu, cabaran yang wujud sekarang ialah untuk memastikan dasar, undang-undang dan program yang dilaksanakan terus relevan dengan isu keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan yang sentiasa berubah dan mencabar.

Teks ucapan beliau mengenai Perkara Agenda 3: Susulan Kepada Persidangan Sedunia Keempat Mengenai Wanita dan Sesi Khas Ke-23 Perhimpunan Agung bertajuk "Wanita: 2000: Kesaksamaan Antara Jantina, Pembangunan dan Keamanan Bagi Abad Ke-21" Pada Sidang Ke-57 Suruhanjaya Mengenai Status Wanita di New York pada Isnin, dihantar kepada Bernama di sini, Selasa.

Hussein berkata Malaysia sentiasa memberi komitmen padu terhadap usaha mencegah dan membanteras semua bentuk keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.

Katanya ini terbukti apabila isu berkenaan dibincang dan diberi pertimbangan di peringkat paling tinggi di Malaysia.

Beliau berkata Malaysia mengambil langkah berterusan untuk melindungi hak wanita dan kanak-kanak perempuan serta menjamin keselamatan mereka dengan membuat penambahbaikan terhadap rangka kerja dasar, undang-undang, rangka kerja institusi dan program dari semasa ke semasa.

Katanya komitmen mendalam Malaysia terhadap perkara ini terbukti apabila ia menjadikan keganasan terhadap wanita sebagai satu dariada 13 sektor utama di bawah Pelan Tindakan Mengenai Kemajuan Wanita.

"Kesungguhan Malaysia juga terpamer melalui banyak pindaan yang dibuat bagi meluaskan keutamaan dan hak mereka yang menjadi mangsa keganasan.

"Ini termasuk pindaan terhadap Kanun Keseksaan yang memperuntuk definisi lebih meluas tentang jenayah rogol dan hukuman lebih berat yang dikenakan terhadap mereka yang disabitkan kesalahan, pindaan terhadap Akta Pekerjaan untuk menangani gangguan seksual di tempat kerja dan pindaan terhadap Akta Keganasan Rumah Tangga yang memberi definisi lebih luas tentang perbuatan keji itu termasuk penderaan emosi, mental dan psikologi, selain penderaan fizikal," katanya.

Hussein berkata Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Global Mengenai Wanita dari 6 hingga 8 Jun di Kuala Lumpur untuk mencari strategi praktikal dan amalan terbaik bagi membolehkan wanita di seluruh dunia mendapat lebih banyak peluang untuk maju dalam bidang ekonomi.

Katanya Persidangan Global 'Women Deliver' 2013, yang memberi fokus terhadap kesihatan dan kesejahteraan wanita dan kanak-kanak perempuan pula akan berlangsung Kuala Lumpur dari 28 hingga 30 Mei. BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Kolumnis

iklan

Iklan