Lawatan PM Ke Gaza Perkukuh Harapan Palestin Untuk Merdeka - Yusuf Al-Qaradawi

Diterbitkan: Ahad, 10 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lawatan sulung Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza terus mendapat pengiktirafan masyarakat antarabangsa kerana pendirian beliau dalam menyokong perjuangan Palestin.

Ini termasuk Lembaga Amanah, Institusi Antarabangsa Al-Quds, yang menyatakan penghargaan mereka menerusi sepucuk surat kepada perdana menteri, sambil menyifatkan lawatan itu sebagai petanda jelas kepada masyarakat antarabangsa dan para pemimpin negara-negara Islam.

"Ia petanda jelas tentang betapa mendesaknya dilaksanakan tindakaan tegas demi menamatkan kepungan tidak berperi kemanusiaan, tidak saja di Semenanjung Gaza tetapi juga di Tebing Barat dan Baitulmaqdis yang dijajah," kata Pengerusi lembaga itu, Yusuf Al-Qaradawi.

Surat itu difaks ke Bernama, Ahad.

Adalah diperhatikan lawatan berani Najib ke Semenanjung Gaza memperkukuh harapan jutaan rakyat Palestin yang inginkan kemerdekaan sejak beberapa dekad.

"Malaysia bagi mereka telah lama dianggap sebagai negara Islam peneraju, khususnya dalam menyokong rakyat Palestin dan perjuangan mereka.

Al-Qaradawi berkata kerajaan Malaysia dan rakyatnya adalah faktor penting dalam menyokong perjuangan adil Baitulmaqdis, dengan Baitulmaqdis sendiri menjadi teras perjuangan Islam.

Najib memasuki Gaza untuk lawatan kemanusiaan sehari pada Januari, pertama kali bagi seorang perdana menteri Malaysia, semasa lawatan kerja tiga harinya ke Mesir sebelum menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan