Mohd Saiful Tidak Berganjak Daripada Dakwaan Diliwat Anwar

Diterbitkan: Sabtu, 9 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Saiful Bukhari Azlan semasa sidang media khas menyangkal dakwaan berhubung kenyataan bapanya menafikan pembabitan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat beliau. -foto MOHD NAIM AZIZ
Saiful Bukhari Azlan semasa sidang media khas menyangkal dakwaan berhubung kenyataan bapanya menafikan pembabitan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat beliau. -foto MOHD NAIM AZIZ

KUALA LUMPUR: Mohd Saiful Bukhari Azlan menegaskan beliau tidak akan berganjak daripada dakwaan diliwat bekas majikannya Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi.

Mohd Saiful dalam satu kenyataan media pada Jumaat melalui pejabat peguamnya Zamry Idrus berkata beliau berasa amat sedih dan dukacita dengan kenyataan bapanya Mohd Azlan Lazim, 60, yang dilaporkan mendakwa anaknya diperalatkan untuk mendakwa Anwar.

"Demi Allah, Agama Bangsa dan Negara tercinta, saya ingin tegaskan bahawa saya tidak sama sekali akan berganjak dengan dakwaan saya. Saya akan terus Istiqamah dan berpegang teguh pada dakwaan saya. Segala keterangan saya di Mahkamah, juga sumpah laknat yang telah saya lafazkan, sehingga akhir hayat," kata Mohd Saiful dalam sidang media sebelum itu.

Pada sidang media yang turut dihadiri Anggota Parlimen Sungai Petani Johari Abdul dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Azlan juga dilaporkan memohon maaf daripada Anwar terhadap anaknya.

Dalam sidang media selepas membaca kenyataan media itu, Saiful berkata bahawa beliau terkejut dengan tindakan bapanya dan beliau percaya tindakan bapanya itu didalangi pihak tertentu.

"Saya cuba hubunginya tetapi tidak dapat. Perbualan terakhir saya (dengan bapa) malam tadi dan tiada apa-apa yang berlaku. Kita hanya bincang urusan keluarga untuk ke Terengganu dan Kelantan selain perihal kucing..Sebab itu kenapa saya terkejut."

"Saya sendiri hendak tanya kenapa perkara ini berlaku yang mana semua orang pun hendak tahu. Saya rayu kepada bapa supaya kembali ke jalan yang benar.

"Terang-terang dia tahu Anwar salah..saya pun tidak tahu macam mana dia boleh terpengaruh. Beliau bersama saya setiap hari di mahkamah mengutuk Anwar malah dia orang pertama yang ke depan untuk buat sidang akhbar dan desak Peguam Negara buat rayuan (kes liwat)," katanya.

Beliau turut meminta Anwar dan pihak-pihak lain supaya tidak mengheret bapanya ke dalam kes tersebut.

"Janganlah melibatkan bapa saya walaupun terdesak untuk mencapai matlamat," katanya.

"Walau apapun berlaku saya yakin kepada Allah S.W.T. Kebenaran tidak dapat dihapuskan walau apa sekalipun. Saya yakin kepada Allah S.W.T yang benar tetap benar," kata Mohd Saiful.

Beliau akan terus berdoa agar Allah membukakan hati bapanya untuk kembali kepada jalan Allah dan kebenaran, mempertahankan anak kandungnya yang menjadi mangsa.

"Sebagai seorang anak, kasih sayang dan hormat kepada seorang ayah akan kekal hingga ke akhir hayat," katanya.

"Kepada seluruh Malaysia, saya menyeru agar tidak terpedaya dengan permainan Anwar Ibrahim," kata Mohd Saiful.

Mahkamah Rayuan menetapkan dua hari mulai 22 Julai bagi mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan pembebasan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari.

Pada 9 Januari tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Anwar atas dakwaan meliwat Mohd Saiful Bukhari, 26, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansarara di sini, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Anwar, 65, yang juga Ketua Pembangkang dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, didakwa mengikut Seksyen 337B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan